Sunday, May 22, 2011

MENGINTAI BARZAKH

0
Aku Pelajar
            Fauzan bersiap-siap untuk ke kelas. Hari ini, dia terlambat dari biasa dan dia perlu cepat. Jika tidak,  pasti dia tidak dapat mengikuti kelas hari ini. Sudah menjadi lumrah kehidupan seorang pelajar, adakalanya akan terlambat jua dan hari ini adalah hari untuk Fauzan.

            “Fauzan, aku jalan dulu ye...” kata Ramidi pada Fauzan.

            “Ya, kau pergi dulu. Kalau kau tunggu aku, nanti kau pun terlambat…” balas Fauzan.

            “Cepat sikit, jangan lambat…”

            “Ya, aku tahu…” balas Fauzan sambil mengikat tali kasutnya dengan tergesa-gesa.

            Selesai mengikat tali kasutnya, Fauzan bergegas ke arah bas. Fauzan bernasib baik kerana masih sempat. Setelah bas itu penuh, mereka mula bergerak menuju ke destinasi mereka pagi itu, Kampus di Pauh.

            Fauzan, seorang pemuda kacak yang disenangi ramai orang. Bukan kerana kekacakannya, tetapi kerana akhlaknya yang baik dan budi pekerti yang tinggi. Tidak ada seorang pun yang tidak menyenanginya lantaran layanan yang dia berikan kepada setiap orang adalah sama, tidak ada yang lebih diberi perhatian. Terhadap orang tua, kesopanannya ternyata menyerlah dan tidak dapat dibandingkan dengan rakan-rakannya yang lain.

            Semua ini adalah hasil keimanan yang kuat tertanam di dalam dirinya dan benih ketaqwaan yang telah disemai ke dalam jiwanya sejak kecil. Dan kini, hasil didikan ibu bapanya terpancar jelas cahaya keimanan di wajah pemuda bernama Fauzan itu.

Bergelar seorang mahasiswa di salah sebuah universiti di utara Malaysia, menjalani kehidupan seharian jauh dari keluarga bukanlah mudah. Namun, dengan hati yang kental, Fauzan harungi juga demi harapan keluarga yang diletakkan padanya.

            Fauzan sedar, menjadi anak sulung kepada enam adik-adiknya yang lain bukanlah mudah kerana dia perlu menjadi contoh teladan buat mereka. Namun begitu, tanggungjawabnya sebagai seorang Muslim tidak pernah dia abaikan. Hasil didikan ibu dan ayahnya, Fauzan kini menjadi seorang pemuda yang patuh kepada Allah dan kedua ibu bapanya.

            “Fauzan, aku nampak kau bangun awal hari ini, tapi kenapa kau masih lambat..?” sapa Ramidi yang duduk di sebelahnya.

            “Ooo… aku siapkan kerja sikit tadi..”

            “Kerja? Bukankah kau selalu siapkan kerja sebelum tidur?”

            “Nak buat macam mana, aku tak dapat siapkan kerja tu malam tadi..” balas Fauzan lalu terus melontarkan pandangannya ke luar tingkap bas. Dilihatnya keindahan alam yang terbentang luas, seluas mata memandang. Ternyata, melihat pemandangan sebegitu setiap hari tidak pernah membuatkan dia jemu, sebaliknya semakin dia gemari.

            Melihat pemandangan ketika matahari terbit merupakan satu nikmat baginya. Terbitnya matahari dari timur, menandakan sudah sampai masanya bagi manusia untuk bangun dari tidur dan bermulalah detik itu untuk mencari rezeki yang telah disediakan di muka bumi ini. Namun, apa yang lebih penting, masa seperti inilah diberikan oleh Allah untuk manusia di dunia ini mengumpulkan bekalan ke akhirat nanti.

            Berpegang dengan prinsip inilah, Fauzan tidak pernah mengenal putus asa dalam mengharungi hidup sehariannya biarpun pelbagai ujian dan rintangan melanda bahtera kehidupannya.

            Hidup Fauzan diteruskan seperti hari-hari yang lain. Akan tetapi, sedikit kelainan tampil pada tingkah lakunya hari ini. Aura ini dirasai oleh insan yang paling hampir dengannya iaitu Ramidi yang selama ini menjadi teman rapatnya di universiti. Ramidilah yang pertama sekali merasai kelainan pada sikap Fauzan hari ini. Namun, perasaan itu hanya dipendamkan sahaja kerana beranggapan tiada apa-apa yang akan berlaku.

            Sesungguhnya, segala yang telah berlaku, sedang berlaku dan akan berlaku adalah di bawah kekuasaan Allah dan tidak ada yang mengetahuinya melainkan mereka yang telah diberi kelebihan oleh Allah. Sesungguhnya tidak ada seorang manusia pun yang mengetahui dan hari ini, tidak sesiapa pun yang tinggal di Taman Semarak itu menyangka bahawa satu perkara yang besar akan berlaku dalam kehidupan mereka. Satu perkara yang tidak mereka duga sama sekali dan perkara ini hanya diketahui oleh Yang Maha Mengetahui.

No Response to "MENGINTAI BARZAKH"

Post a Comment