Sunday, May 9, 2010

TANGIS KEINSAFAN

0
oleh : tinta muadzin

Suasana malam di Jalan Kampug Pandan sepi. Langsung tidak kedengaran bunyi tapak kaki, apatah lagi deruman enjin kenderaan yang sering melalui jalan itu pada waktu siang. Jam menunjukkan pukul 11.45. inilah saat yang ditunggu-tunggu oleh aku dan rakan-rakan aku.

“Man! Bila diorang nak sampai?” aku bertanya pada Man, rakan aku.

“Alah, tunggulah kejap… Nanti diorang sampailah. Diorang tak pernah menolak dalam hal ni…. Diorang mesti datang punya…. Kau tunggulah kejap, kau tak usah risau”, balas Man.

Detik demi detik berlalu, kesabaran dalam diri aku dan 10 lagi rakan seperjuangan aku kian menghilang, api semangat kami kian berkobar-kobar menantikan saat 12 tengah malam. Tiba-tiba, kelihatan cahaya lampu yang disertakan deruman enjin motosikal yang semakin kuat, menghampiri kami.

“Bagus! Sampai juga mereka akhirnya..” bisik hati kecik aku.

“Wei! Sorilah sebab lambat… Ada orang pancitkan tayar motor aku!” jerit seorang pemuda belasan tahun kepada kami sambil memberhentikan motosikalnya.

“Amacam! Dah ready…?” tambah pemuda itu lagi, Ral gelarannya.

“Ok! Cun… Jom ambil tempat!” balas Man.

Maka kelihatanlah deretan motosikal mengambil tempat di atas Jalan Kampung Pandan itu, disertakan dengan deruman enjin motosikal yang sememangnya memekakkan telinga.

“Belakang dah ready!!” jerit seorang pemuda yang berada di tempat paling belakang.

“Lah! Aku nak tengok kau menang malam ni… Kau kata senang kan?” Man menjerit pada aku dalam keadaan hingar itu.

“Woi Man!!! Aku ni jaguh di bandar lah…!!! Setakat jalan kampung macam ni kacang aja!!!” aku membalas penuh sombong. Pada aku, mereka bagaikan sampah yang tidak perlu dihiraukan. Hati aku kuat mengatakan bahawa mereka tidak akan menang pada malam ini.

Tepat jam 12, “Mula…!!!” Man menjerit.

Maka bermulalah adegan yang penuh aksi dan mendebarkan. Setiap yang berada di situ mula memecut laju. Deruman enjin motosikal yang membingitkan telinga memecahkan kesunyian malam di jalan itu, menenggelamkan nyanyian unggas di seluruh kampung itu.

Sebaik sahaja kelajuan maksimum dicapai, setiap pelumba menunjukkan kehebatan masing-masing dalam menunggang. Pelbagai aksi dapat dilihat, sehinggakan ada yang berani meletakkan kepalanya di hadapan motosikalnya. Melihat aksi mereka aku rasa tercabar. Darah aku mula panas.

“Eleh! Setakat aksi macam ni, aku pun boleh buat…” bisik hati aku.

“Hiyah!!!.. Woi!! Tengok ni..!! Hahaha…” aku menjerit menarik perhatian mereka dengan penuh bangga. Mereka nampaknya kagum dengan aksi berani aku meletakkan kaki ke hadapan lampu motorku.

“Hahaha..!!! Kau orang semua tak akan berani buat aksi macam aku ni! Aku ni jaguh lah oi!” hati aku berbisik penuh sombong.

“Kau!!! Wahai manusia!!! Akan hilang kedua-dua kaki kau!!!” bagaikan petir dan guruh yang datang serentak, satu suara tiba-tiba menyergah aku.

Mendengar kata-katanya, aku terkejut, menggeletar dan hilang rasa bangga aku. Sebaliknya, ketakutan kini menyelubungi seluruh jiwa aku.

“Apa? Hilang keduanya sekali? Malam ini? Tak mungkin!”

Aku tidak faham apa yang dikatakannya. Dalam masa yang sama, aku ingin menghentikan motosikal aku, akan tetapi, kerana panik aku sebaliknya terus memecut sehingga aku terasa bagai melanggar sesuatu. Serta merta pandangan aku kelam.

Kosong, sunyi. Tidak ada cahaya mahupun bunyi di sekeliling aku, malah anggota aku sendiri pun tidak kelihatan. Aku merasakan bahawa aku sedang berseorangan. Aku tertanya-tanya, “Sudah matikah aku..?”. Namun, persoalan itu tetap tidak terjawab.

Gelap tidak kekal lama. Keadaan sekeliling aku mula terang perlahan-lahan. Semakin lama semakin terang. Namun, pandangan aku masih kabur. Seketika kemudian, kelihatan satu jasad yang sedang terbaring.

Serentak dengan itu, bau yang amat busuk menerjah masuk ke dalam hidung aku.

“Ish! Apa yang busuk sangat ni…?” aku bermonolog kehairanan.

Aku melihat jasad itu kaku, terbaring diatas katil walaupun ketika itu hari sudah cerah dan tertimbullah persoalan dalam fikiran aku, “Kenapa dia masih tidur sedangkan hari sudah cerah?”. Aku ingin pergi dari situ lantaran bau busuk yang mencucuk hidung aku ini, akan tetapi, kaki aku bagaikan terpaku di situ. Aku terus memerhatikan jasad itu.

Tidak lama kemudian, ia terjaga. Bangun dari katilnya lalu dicapainya sesuatu dan terus ke bilik air. Entah kenapa, kaki aku bergerak dengan sendirinya mengekori jasad itu meskipun bau busuk padanya membuatkan aku hampir muntah. Setelah ia selesai mandi, bau busuk padanya telah berkurang namun tetap ada.

Aku kehairanan, “Apa yang dilakukannya sehingga bau busuk itu tetap tidak hilang selepas mandi…?”. Selesai mengenakan pakaian, ia bercakap dengan seseorang.

“Mak! Mak! Mak!..!! Aku nak duit lagi!! Duit semalam sudah habis!” dia berkata dengan nada kuat.

“Wah! Kasarnya engkau bercakap dengan emak engkau! Tidakkah kau tahu untuk bersopan dengan orang tua?!”

“Lah… Mak dah tak ada duit lagi. Yang ada pun Cuma cukup untuk lauk malam ini…” Serta-merta pandangan aku menjadi jelas. Aku kini dapat melihat jasad itu. Itulah aku. Ya! Diri aku selama ini.

Dengan pantas keadaan berubah.

Aku melihat diri aku ketika aku masih kecil. Keluarga aku agak senang ketika itu. Keperluan kami sentiasa cukup dan tidak pernah berkurang. Tidak lama kemudian, seorang kanak-kanak berusia 8 tahun yang comel kemudiannya muncul di hadapan aku. Pakaian dan wajahnya bersih dan kulitnya pula putih gebu. Suka aku melihatnya. Itulah aku ketika aku berumur 8 tahun. Aku teruskan melihat…

“Lah, jangan ikut budak-budak yang rosak akhlaknya, jangan sesekali tinggalkan solat, melawan emak dan ayah… ALLAH murka pada orang macam tu…” emak berpesan.

“Jangan Lah asyik melepak, buang masa. Jangan jadi samseng. Bila dah besar nanti jadi pembela agama. Sekarang ini, belajarlah bersungguh-sungguh. Dah besar nanti mesti hidup lebih senang…” ayah pula berpesan.

“Baik ayah, baik emak…” aku membalas penuh taat.

Tanpa aku sedari, air mata telah mengalir. Terharu dengan kata-kata mak dan ayah. Walaubagaimana pun, aku sedih. Tidak lama selepas peristiwa iitu, ayah meninggal dalam satu kemalangan jalan raya. Semenjak itu, kami sekeluarga hidup susah.

“Ya ALLAH! Apa aku dah buat terhadap emak aku sendiri? Aku kasar terhadap dia yang telah melahirkan dan menjaga aku selama ini…!”

Keadaan berubah sekali lagi. Kali ini aku dapat melihat, seorang remaja lelaki. Pakaiannya selekeh, rambutnya bagaikan duri landak, mukanya hitam, kering dan cengkung. Aku tergamam. Tidak aku sangka begitu buruk sekali rupa aku ketika 15 tahun.

Ketika itulah aku mula merokok, melepak, mencuri dan menyertai lumba haram. Tidak cukup dengan itu, aku amalkan pergaulan bebas. Solat? Arghh! Tak ada gunanya semua itu bagi aku. Langsung aku lupakan Tuhan yang telah menciptakan aku.

Malam aku keluar, subuh barulah aku pulang ke rumah. Untuk mengelakkan dimarahi mak, aku berpura-pura ke sekolah sedangkan aku habiskan masa aku di pusat judi. Aku langsung tidak pedulikan pelajaran aku kerana bagi aku, hidup inilah yang lebih penting.

Semakin lama kami bertambah susah. Aku pula hanya tahu meminta dan menghabiskan wang. Kalau mak tak berikan, aku marah mak, aku tengking mak, malah kekadang aku pukul mak.

Tatkala aku melihat semua itu, hati aku meronta-ronta.

“Sudah! Jangan pukul mak lagi…!!!”

“ Cukup…!!”

“Hentikan…!!!”

“Dia tak bersalah..!!”

“Jangan! Jangan! Jangan…!!!”

Aku cuba mengherdik diri aku itu tetapi sia-sia. Suara aku bagaikan tersekat di kerongkong. Aku tidak dapat berbuat apa-apa melainkan terus melihat sahaja mak dipukul. Aku menangis. Meskipun mak dipukul, tetapi dia tidak pernah melawan. Sebaliknya dia berdoa untuk kesejahteraan dan hidayah untuk aku. Air mata aku mengalir deras.

Keadaan kembali gelap gelita.

“Apa pulak kali ini..?”
Seketika kemudian, aku melihat satu cahaya yang bergerak laju disertai deruman enjin yang semakin kuat. Dalam fikiran aku, merekalah kawan-kawan yang aku tinggalkan di belakang ketika berlumba tadi. Malangnya, ternyata silap sama sekali tekaan aku itu.

Sekumpulan penunggang menunggang secara bahaya. Seorang mendekati aku, seolah-olah ingin melanggar aku dengan kelajuan yang tinggi itu. Tanpa sempat aku mengelak, aku dilanggar. Tetapi, mereka hanya berlalu menembusi aku. Aku terkedu.

Seketika kemudian, seorang demi seorang melintasi aku seolah-olah aku tidak wujud di situ. Kemudian, aku melihat diri aku. Menunggang dengan laju melintasi aku. Serta-merta aku faham. Aku masih belum berada di dunia nyata lagi.

Memori aku malam itu kembali ke dalam ingatan. Malam itulah sesuatu yang tidak pernah aku lakukan, aku lakukan.

Dari kedudukan yang paling belakang, aku terus memecut dengan selaju mungkin sehinggakan aku berada di tempat yang kedua. Pemuda yang berada di hadapan aku seakan-akan memandang rendah pada aku. Aku geram.

“Tak kira… Aku nak menang jugak…”
“Aku tak boleh biarkan habuan baik di garisan penamat tu terlepas dari aku…”
“Aku nak menang…!!!”

Sampai di satu selekoh, hanya kami berdua sahaja yang ada. Kerana dengki yang beraja dalam hati aku, aku menendang motosikalnya menyebabkan dia hilang kawalan lalu terbabas. Aku terus memecut bagaikan tiada apa yang berlaku.

Malam itu aku menang di tempat pertama dan aku layak untuk mendapatkan habuannya, seorang gadis untuk menemani aku sepanjang malam. Aku terima habuan itu dengan bangganya tanpa segan silu.

“Lah! Razt kemalangan… Kau tahu tak?” tanya Indi pada ku.
“Hah! Macam mana dia boleh kemalangan…?!”, aku berpura-pura seakan-akan aku terkejut dan tidak tahu apa-apa.

“Tak tahu, dia sekarang sedang dirawat…”

“Ah, biarlah.. Nanti dia sudah dirawat, aku pergi jenguk dia….”

Lalu aku terus pergi dari situ bersama gadis tadi. Kami hanya berdua, ke satu tempat yang jauh dari orang ramai. Pandangan aku kelam seketika.

“Sudahlah… Cukuplah…. Aku tak mahu tengok lagi…”

Air mataku bercucuran mengalir membasahi kedua pipi aku. Aku sudah tidak sangup lagi melihat segala amal kejahatan aku.

“A… Aku… Aku ingat apa yang berlaku selepas itu….”

Di kawasan bukit, motosikal aku diberhentikan. Aku bersama gadis itu mencari suatu tempat, tempat yang tiada sesiapa akan melihat kami berdua. Tempat yang tersembunyi dan sudah pasti, di sebalik belukar adalah tempat yang sangat sesuai.

Di situ, kami berpelukan dengan erat tanpa rasa segan dan silu. Kami berpelukan di situ kerana kami menyangka tiada sesiapa yang melihat kami. Setelah keadaan dipastikan selamat, maka aku mulakan rancangan aku, melayan nafsu serakah terhadap perempuan. Tanpa rasa malu, gadis itu juga menurut kehendak aku.

“Hina benar diri aku….”, aku menangis sambil menutup muka aku dengan kedua tapak tangan aku. Aku tidak tahu berapa lamakah aku berkeadaan sebegitu.

Sebaik aku mengesat air mataku, hari semakin cerah. Aku melihat diri aku pulang ke rumah. Sebaik sampai di rumah, aku tidak menghiraukan mak yang sedang menyediakan sarapan dan terus ke bilik tidur. Mak tidak sedar akan kepulangan aku kerana mak menyangka aku sedang tidur.

Belum sempat aku melelapkan mata, satu panggilan telefon mengejutkan aku.

“Biarlah mamat tu mati, tak ada kena-mengena dengan aku…” kata diri aku dengan bersahaja.

“Kau tak kisah ke Razt mati…?”

“Tak…”
“Jahanam kau..!!! Kau dah bunuh dia dan kau buat macam tak ada apa-apa yang berlaku?!! Celaka kau…!!!”

Aku menjerit memarahi diri aku yang sedang terlantar di atas katil itu biar pun aku menyedari tindakan itu sia-sia. Namun, itulah hakikatnya, diri aku langsung tidak kisah! Dalam erti kata lain, aku tidak kisah!

Air mata aku terus bercucuran. Aku rasa sungguh bersalah! Sungguh aku amat berdosa! Tidak sangka aku menyebabkan kematian seseorang.

“Aarrgghhh…!!! Sudah…!!! Aku tak nak tengok lagi…!!!”.
“Sudah!!! Cukup!!!”.

Aku meraung sekuat-kuat hati aku, tetapi tetap tidak mengubah apa-apa. Rentetan peristiwa hidup aku dipertontonkan kepada aku satu persatu dan aku tidak dapat berbuat apa-apa. “Hukuman apakah ini…?”

“Lah! Aku mahu kau bertangunggjawab…” tiba-tiba stu suara kedengaran.
“Ini anak kau, Lah…” katanya lagi.
“Anak yang aku kandung ni, anak kau…” kata Milah dengan nada sayu.

Milah, salah seorang gadis yang pernah melayan nafsu serakah aku kini hadir di hadapan diri aku itu.

“Tak naklah… Buat apa? Aku bukannya mahukan anak tu…”

“Tapi aku dah mengandung…”

“Ya, aku tahu… Aku pun boleh nampak perut kau membesar….”
“Macam ni lah! Lepas kau beranak nanti, kau buang aja anak tu…”

“Bu.. Buang….” Aku tidak dapat berkata apa-apa lagi. Lidah aku kelu.

Malam, gelap gelita. Kelihatan satu pondok usang di dalam satu kawasan kebun getah dicerahi cahaya lampu minyak tanah. Kedengaran jeritan wanita yang mengerang kesakitan disusuli tangisan bayi tidak berapa lama kemudian.

“Lah, ini anak Milah… Aku serahkan pada kau…” kata seorang gadis muda lantas menghulurkan satu bungkusan kepada diri aku itu.

Diri aku mengambil bungkusan itu dan membukanya sedikit. Kelihatan wajah bayi yang masih lagi bermandi darah bersama tangisan.

“Apa kau nak buat kepada anak ini…? Takkanlah kau nak…” aku tidak dapat meneruskan kata-kata aku. Keadaan serta-merta berubah.

Sama seperti tadi, aku berada di dalam hutan, tetapi aku tahu bahawa sekarang di tempat lain. Beberapa orang sedang menunggu di tepi sebuah lubang kecil yang telah siap digali. Lalu aku melihat diri aku sampai bersama dengan bungkusan tadi.
Dengan pantasnya, dia tutup bungkusan itu lalu diletakkan ke dalam lubang yang telah tersedia di situ. Lalu….

“Uueekk… Uueekk… Uueekkkk…”
“Uueekk… Uueekk… Uueekkkk…”
“Uueekk… Uueekk… Uueekkkk…”
“Uueekk… Uueekk… Uue…”

Suara bayi itu hilang. Kini, bayi itu telah ditimbus sepenuhnya. Mereka yang berada di situ terus menimbus tanah ke atas lubang itu sehingga tidak kelihatan langsung kesan digali.

“Ya ALLAH!! Apakah yang telah aku lakukan…?”.
“Aku telah menanam seorang bayi yang tidak bersalah , hidup-hidup…”.
Ternyata aku ini lebih hina dari binatang. Lantas, satu demi satu bayangan diri aku menanam bayi hidup-hidup ditayangkan. Aku melihat diri aku menanam darah daging aku sendiri.

Aku jauh berbeza dari binatang. Binatang pun tidak membunuh darah daging sendiri.

“Tetapi, tetapi aku….” aku terus menangis.

Keadaan kembali gelap gelita seperti awal. Aku kembali ke dalam kegelapan.

“Apakah pula yang menanti aku kali ini…?” aku bermonolog.

Beberapa ketika aku menunggu, penantian aku berakhir. Haruman yang begitu wangi seakan-akan menarik aku ke suatu tempat. Sebentar kemudian, kelihatan sesuatu seperti bintang. Ia kian membesar. Semakin ia membesar, dapat aku rasakan seperti aku sedang menghampirinya dan wangian itu pula semakin kuat.

“Apakah bau yang semakin kuat ini…?”
“Belum pernah aku mencium bau ini…”
“Cukup wangi, hati aku tenang mencium bauan ini. Harum sangat…”
“Bau apakah ini…?” aku tertanya-tanya.

Semakin aku menghampiri bintang itu, semakin jelas pula suara kanak-kanak bermain dengan begitu riang sekali.

“Sudahlah… Aku tak mahu tengok lagi….”
“Aku sudah cukup terseksa….” aku menangis.

Tidak lama kemudian, aku nampak sebuah pintu gerbang yang terlalu besar. Besarnya seluas saujana mata memandang. Hiasan pada pintu itu cukup indah, memukau. Belum pernah aku melihat sesuatu yang begitu indah sepertinya. Tidak pernah aku bayangkan, malah tidak ada sesiapa yang menceritakan sesuatu yang indah sepertinya.

Aku dapat melihat dengan jelas sekali, ianya dibuat daripada emas dan perak.sesekali dapat aku rasakan angin sepoi-sepoi bahasa menyapai tubuh aku. Lembut serta sungguh menyegarkan dan haruman pula bertambah kuat.

“Ayah! Ayah! Ayah dah datang…?”

Aku tersedar dari pesona gerbang itu. Dari pintu gerbang itu, aku melihat beberapa orang kanak-kanak berlari ke arah aku.

“Siapakah mereka ni…?” aku bertanya. Aku memerhatikan sekeliling jikalau ada sesiapa lagi disituselain aku, tetapi ternyata tiada.

“Ayah! Ayah dah datang…” salah seorang dari mereka menyapa.
“Ayah… Kenapa ayah buang kami dulu….?” yang lain pula menyapa.
“Ayah tak sayang kami…?” seorang lagi menambah.
“Ayah… Kami semua sayang ayah…” kata seorang lagi.
“Ya ayah! Kami selalu rindukan ayah kat dunia…” kata yang lain pula.

“Ayah… Kami sangat sayangkan ayah… Tapi kenapa ayah buang kami? Kenapa ayah tanam kami? Kami ada buat salahkah…?”

“Ayah… Kalau kami ada buat salah, kami minta maaf…”
“Ya ayah… Kami minta maaf kalau kami ada buat salah pada ayah. Kami tak bermaksud nak sakitkan hati ayah. Kami minta maaf ayah….”

Aku tatap wajah mereka seorang demi seorang. Aku mengenali mereka, merekalah darah daging aku sendiri yang aku tanam hidup-hidup ketika mereka baru dilahirkan. Aku lihat mereka dilahirkan, tetapi aku dengan kejamnya membunuh mereka. Alangkah kejamnya aku, membuang mereka, membiarkan mereka dalam kesakitan, keperitan, kebuluruan dan akhirnya mati. Tetapi mereka langsung tidak memarahi aku. Bahkan meminta maaf pula pada aku sedangkan mereka tidak bersalah.

Aku tergamam. Kini, penyesalan aku tidak dapat aku gambarkan.

“Apa aku dah buat…?”

Dengan teresak-esak, aku membalas.
“Tidak! Tidak! Kamu semua tak bersalah… Yang bersalah adalah ayah…”
“Ayah yang bersalah, bukan kamu… Ayah yang patut meminta maaf…”

“Sudahlah ayah… Jangan ayah buat dosa lagi…” kata seorang dari mereka.
“Ya ayah… Janganlah lumba haram lagi…” seorang lagi menambah.
“Janganlah mencuri lagi…”
“Janganlah ayah berjudi lagi…”
“Janganlah minum arak lagi… Ya ayah…?”
“Janganlah ayah terus bezina…”

“Ayah… Baliklah ke pangkal jalan. Dirikanlah solat. Sujudlah pada Tuhan Yang Esa. DIA akan ampunkan dosa-dosa ayah. Semuanya sekali. DIA akan ampunkan. Dia Maha Pengampun…” kata mereka pada aku.

“Ayah, bertaubatlah ayah… Kami nak tengok ayah masuk ke dalam tu…” mereka menambah sambil menundingkan jari mereka ke dalam pintu gerbang itu.

“Ayah, kami tak nak tengok ayah masuk ke dalam neraka. Sana, sangat menyakitkan. Sakit sangat. Kami kesian kalau ayah masuk ke dalam sana lalu diazab. Kami sayang ayah, kami tak nak ayah masuk neraka…”

“Kami nak ayah masuk dalam tu. Kami nak main dengan ayah di dalam tu. Dalam tu seronok. Kita boleh buat apa sahaja. Nikmat dalam tu cukup banyak. Banyak sangat. Ayah pasti tak akan bosan apabila berada di dalam tu. Itulah syurga, ayah…”

“Syurga…? Syurga…?”

Kini aku telah ingat kembali. Itulah syurga, yang keindahannya tidak pernah dibayangkan oleh manusia. Malah, tidak akan dapat dibayangkan. Syurga itu tidak dimiliki sesiapa melainkan milik ALLAH, Tuhan sekalian alam. DIA-lah Tuhan yang patut aku sembah, tiada Tuhan melainkan DIA.

Tangisan aku bertambah kuat. Selama ini, aku telah lupa kepada-NYA yang telah menciptakan aku,menghidupkan aku dan memberikan bermacam nikmat kepada aku. Sesungguhnya aku telah merasa penyesalan yang belum pernah aku rasakan. Sangat menyesal.

“Anak-anak… Ayah berjanji, ayah tak akan buat semua itu lagi…”

Selama ini aku telah lupa kepada nikmat syurga yang telah ALLAH janjikan. Betapa bodohnya aku kerana termakan kata-kata syaitan seterusnya terpikat dengan godaan dunia yang sementara sedangkan syurga adalah tempat yang kekal selama-lamanya.

“Bodohnya aku….”

“Ayah, kami tunggu ayah di sini. Kami tak akan masuk ke dalam selagi ayah tak datang., ya ayah…?”

Aku terus menangis. Aku pejamkan mata aku, mengangkat tangan dan menadah. Dalam esak tangis kesyahduan, aku berdoa…

“Ya ALLAH…! Sesungguhnya ENGKAU Tuhan Yang Maha Kaya… ENGKAU Maha Pencipta. Ya ALLAH, ENGKAU Maha Melihat, Maha Mendengar, Maha Mengetahui… Ya ALLAH, ENGKAU Tuhan Yang Esa, Yang Maha Kuasa. ENGKAU-lah yang telah menciptakan langit dan bumi serta segala isinya… ENGKAU jadikan tumbuhan, ENGKAU jadikan haiwan.. ENGKAU juga yang telah menghidupkan bumi yang mati. ENGKAU datangkan awan lalu darinya ENGKAU turunkan hujan.”

“Setelah itu, ENGKAU jadikan tumbuh-tumbuhan sebagai makanan kepada manusia dan sebahagian lagi kepada haiwan, lalu sebahagian haiwan menjadi makanan pula bagi manusia. Ya ALLAH! Ya ALLAH! Ya ALLAH…! ENGKAU keluarkan biji-bijian, maka daripadanya aku makan. Dan ENGKAU jadikan kebun-kebun kurma dan anggur, dan ENGKAU pancarkannya beberapa mata air supaya manusia dapat makan buah-buahan, dan dari apa yang diusahakan oleh tangan manusia…”

“Ya ALLAH… Sesungguhnya hamba-MU ini telah lalai dan melupakan semua nikmat-nikmat yang telah ENGKAU kurniakan… Sesungguhnya hamba telah berlaku zalim, zalim terhadap diri sendiri, zalim terhadap ibu hamba sendiri, zalim terhadap anak-anak hamba… Ya ALLAH, hamba telah zalim terhadap makhluk-makhluk-MU. Sungguh hamba merupakan insan yang berdosa…”

“Ya ALLAH… sesungguhnya ENGKAU Maha Mengetahui… ENGKAU perintahkan agar aku mendirikan solat, tetapi aku ingkar. ENGKAU perintahkan agar aku berpuasa, tetapi aku masih ingkar… Sesungguhnya hamba-MU ini telah banyak berdosa. Hamba berzina, mencuri, membunuh dan menderhakai ibu sendiri… Hamba-MU ini terlalu hina, Ya ALLAH…”

“Ya ALLAH… ENGKAU Tuhan Yang Maha Pengasih dan Pengampun…Pada saat ini, hamba merapatkan kedua tangan hamba, menundukkan kepala yang selama ini tegak kerana sombong. Hamba mohon, ampunkanlah dosa-dosa hamba. Wahai Tuhan Yang Maha Pengampun, terimalah taubat hamba… Sesunggunhnya ENGKAU Maha Penyayang dan Pengasih… kasihanilah hamba yang telah lama terleka.”

“Ya ALLAH… Sesungguhnya kepada ENGKAUlah hamba menyembah, dan kepada ENGKAUlah hamba meminta pertolongan. Tunjukkanlah hamba jalan yang lurus, jalan orang-orang yang ENGKAU redhai dan ENGKAU berikan rahmat. Bukan jalan orang-orang yang ENGKAU murkai serta mereka yang sesat. Ampunilah dan rahmatilah hamba-MU ini… Ya ALLAH, berikanlah kepada hamba kebaikan di dunia dan di akhirat….”

Perlahan-lahan aku membuka mata aku. Pandangan aku kabur, tapi dapat aku lihat dalam kesamaran. Aku kini berada di dalam sebuah bilik serba putih. Kiri, kanan, atas, bawah, semuanya putih.

“Ah… Apa pula kali ini…?” bisik hati kecilku.
Akan tetapi, persoalan aku itu pantas terjawab apabila aku sedar bahawa aku sedang terlantar di atas katil. Dari keadaan bilik itu, aku tahu, aku kini di hospital.

“Aduh, sakitnya lutut aku…” kata hatiku sambil memegang lututku.
“Ya ALLAH, besarnya dugaan-MU. Kini ENGKAU telah mengambil semula salah satu nikmat yang KAU berikan kepada aku, kedua kakiku…” bisik hatiku.

Aku cuba untuk bersandar, namun sukar sekali kerana kakiku telah tiada. Dalam kesukaran itu, tiba-tiba seseorang memegang aku dan membantu aku. Aku melihat ke arahnya. Ketika itu, aku tatap wajahnya, kurenung matanya, kulihat hidungnya, kulihat bibirnya yang sedikit tersenyum, kulihat keningnya, kulihat dagunya, pipinya dan kedut di wajahnya.

Dengan linangan air mata, “Mak!!! Ampunkan Lah, mak! Lah dah banyak berdosa dengan mak… Lah jerit pada mak, Lah tengking mak, Lah pukul mak, Lah kejam terhadap mak… Lah berdosa besar, mak… Lah dah derhaka… Ampunkanlah anak mak ini…”
“Sejak kecil, mak yang jaga Lah, mak bagi Lah makan apabila Lah lapar, mak jaga Lah bila Lah sakit. Mak, apabila Lah minta tolong, mak sentiasa tolong… Tapi, tapi Lah derhaka pada mak. Lah jerit, tengking, pukul mak, tapi mak tak membalas. Sebaliknya mak doakan kesejahteraan Lah, kebaikan Lah dan kesenangan untuk Lah… Mak, ampunkan Lah… Ampunkan Lah… Ampunkan Lah… Hanya mak sahaja yang boleh ampunkan Lah… Lah minta ampun, mak…!!”

Dengan lembut, mak membalas,”Abdullah, anak mak yang mak sayang… Dah lama mak ampunkan Lah… janganlah menangis lagi… Mak ampunkan Abdullah…”

“Terima kasih, mak… Abdullah sayangkan mak…”