Sunday, May 29, 2011

ALEESYIA

0
oleh : tinta muadzin
           
          Aleesyia melangkah, berlalu dari kedai Pak Mat. Langkahnya pantas. Padanya, dia tidak mahu nanti bertemu dengan lelaki yang dipanggilnya sebagai “Hubby”. Entah di mana lelaki itu berada sekarang. Dia sungguh marah padanya. Hatinya panas tatkala melihat lelaki itu bersama seorang perempuan lain di Tasik Melati tengah hari tadi. Mereka kelihatan sungguh mesra bagaikan sepasang kekasih.

            “Siapa perempuan tu?” bisik hati kecil Aleesyia.

“ Apa Hubby buat dengan perempuan tu kat sana?”

“Kenapa mereka tu sangat mesra? Macam kekasih…”

“Adakah Hubby sudah tak mahukan aku lagi?”

“Sudahkah Hubby berpaling dari aku…?”

Pelbagai persoalan kini menerjah benak fikiran Aleesyia. Hatinya yang sudah tiga minggu tidak tenteram kini semakin tidak tenteram lantaran melihat kekasihnya itu bersama perempuan lain.

Tanpa dia sedari, air matanya mula berlinangan ketika dipertengahan jalan ke rumahnya di Taman Semarak itu. Fikirannya tidak lagi tertumpu kepada jalan di hadapan sebaliknya terhadap lelaki itu. Tanpa dia sedari juga, beberapa orang yang mengenalinya terlihat perlakuan aneh Aleesyia yang mereka kenali itu.

“Eh, kenapa dengan Leesyia tu? Macam menangis aje…” bisik Hanis kepada Alia.

“Iyelah… Dia menangis… Takkan Ridzuan putus dengan dia kot?” Alia menimbulkan persoalan.

“Betulkah dia bergaduh dengan Hubby dia tu?”

“Iyelah, kau tak nampak ke diorang tu masam muka aje? Dah tiga miggu dah diorang macam tu…” balas Alia.

“Oh… Tak tahu pulak aku…” balas Hanis.

Aleesyia hanya meneruskan langkahnya sedangkan dia tidak menyedari bahawa terdapat mata-mata yang sedang melihatnya menitiskan air mata.

Dia mengesat air matanya setelah dia sedar akan kehadiran titisan-titisan air di pipinya sebelum masuk ke dalam rumah. Selamba, dia membuka pintu yang sudah terbuka sedikit itu.

“Eh…!” Aleesyia tersentak sebaik sahaja dilihatnya tiada seorang pun teman serumahnya di situ.

“Aleesyia..? Cari siapa..?” soal Nabilah setelah melihat Aleesyia yang tidak pernah menziarahi rumah itu seakan kebingungan.

Diajukan seolah itu, Aleesyia semakin bingung. Lantas dilihatnya nombor rumah yang tertera di pintu.

“Ah…! Silap rumah, maaf…” kata Aleesyia setelah dia menyedari dia tersalah rumah lalu terus berlalu dari situ. Rasa malu terbit dari hatinya. “Apakah mungkin mereka telah nampak aku menangis?” getus hati kecil Aleesyia.

Setelah menikmati makanan yang dibelinya di kedai Pak Mat tadi, dia merebahkan badannya ke katil. Terasa tawar meskipun terdapat lauk kegemarannya, ayam masak kicap. Air matanya berlinangan mengenangkan Ridzuan. Persoalan-persoalan yang sama terus berulang di kotak mindanya.

“Siapa perempuan tu?”

 “ Apa Hubby buat dengan perempuan tu kat sana?”

“Kenapa mereka tu sangat mesra? Macam kekasih…”

“Adakah Hubby sudah tak mahukan aku lagi?”

“Sudahkah Hubby berpaling dari aku…?”


***********

Iffah melangkah masuk ke dalam bilik. Dilihatnya Aleesyia sedang menyiring menghadap dinding, membelakangkannya. Teresak-esak. Iffah membiarkan sahaja Aleesyia begitu tanpa ada rasa ingin menyoalnya.

Iffah, teman sebilik Aleesyia sudah mangli akan keadaan Aleesyia. Pastinya dia bergaduh dengan Ridzuan lagi, kekasih hati Aleesyia. Tiga minggu lalu, Aleesyia mula bertengkar dengan Ridzuan dan pertengkaran mereka makin serius dari hari ke hari dan hari ini hari pertama Iffah melihat Aleesyia dalam keadaan begitu. Bukanlah tidak pernah dia lihat Aleesyia menangis, tetapi hari ini teman sebiliknya itu kelihatan paling sedih sejak dia bertengkar dengan kekasihnya.

Membiarkan Aleesyia melayan perasaannya, Iffah menyiapkan dirinya untuk solat maghrib setelah dia puas berjoging mengelilingi Bukit Kubu tadi. Meskipun dia digelar sebagai “ustazah” kerana sentiasa bertudung labuh paras siku dan sentiasa menutup auratnya dengan sempurna, tidak bermakna dia tidak boleh beriadah sebagaimana orang lain. ALLAH mewajibkan umat Islam menutup aurat, tetapi ALLAH juga menggalakkan umatnya beriadah.

Sementara itu, Aleesyia terus melayan perasaannya. Bait demi bait lagu-lagu sedih yang didengarkan pada telinganya semakin mengusik jiwanya membuatkan dadanya semakin sebak. Air mata yang tadi hanya berlinangan di kelopak matanya kini mengalir deras mengenangkan Ridzuan yang kini nyata pada matanya telah curang. Jika tidak, masakan Ridzuan tidak membalas SMS yang dia hantar dan Ridzuan juga tidak menjawab panggilannya ketika dia melihat lelaki itu bersama perempuan lain.

Sengaja dia buat begitu untuk menguji Ridzuan. Setiap saat yang berlalu membuatkan Aleesyia semakin yakin bahawa Ridzuan telah curang. Aleesyia tidak menyangka kata-kata yang pernah lelaki itu ungkapkan padanya, kini hanyalah tinggal kenangan.

Tidak sesekali dia sangka kata-kata itu hanyalah sementara dan tidak kekal sehingga ke syurga seperti yang pernah Ridzuan katakan.

“Ridzuan, kenapa kau buat begini pada aku….?” getus hatinya dan terus menangis.


*********

“Allahuakbar….” Iffah mengangkat takbir memulakan solat.

Aleesyia membetulkan kedudukan dirinya, duduk bersandar pada dinding di belakangnya. Entah apa yang menarik perhatiannya pada Iffah yang sedang khusyuk mendirikan solat, pandangannya tidak dapat dialihkan daripada Iffah teman sebiliknya itu yang jelas bertentangan perwatakan dengan dirinya.

Aleesyia, seorang gadis kota yang datang dari keluarga yang senang. Rambutnya yang hitam, lurus dan lembut mampu membuatkan mana-mana lelaki yang melihatnya cair. Bentuk mukanya yang membujur sirih disertakan matanya yang tidak terlalu sepet dan tidak terlalu besar menyerlahkan keayuannya. Bibirnya yang sentiasa merah membuatkan ramai lelaki yang sukar mengalihkan perhatian darinya ketika saat pertama kali bertemu. Kulitnya yang putih gebu dengan ciri-ciri yang telah disebutkan bagaikan memberi satu pakej untuk setiap lelaki tertarik kepadanya. Bahkan, tanpa mekap yang tebal sudah cukup untuk mencairkan hati mana-mana lelaki dan membuatkan mereka ingin memiliki dia sebagai awek mereka.

Berbeza dengan pembawaan diri Aleesyia, Iffah bagaikan bumi dan langit untuk dibandingkan mereka berdua. Mengenakan tudung labuh paras siku, tinggi yang sederhana dan paras rupa yang sederhana keayuannya, Iffah dikatakan mampu menyejukkan hati mana-mana lelaki yang melihatnya. Iffah yang tidak pernah mengenakan mekap pada wajahnya tidak sedikit pun membuatkan keayuannya berkurangan. Malah, ada lelaki-lelaki gatal yang mengatakan kecantikannya adalah semula jadi.

Aleesyia terus memerhatikan Iffah.

Tanpa disedari Aleesyia, masa berlalu dan Iffah selesai solatnya. Iffah lantas mengambil senaskhah Al-Quran yang diletakkan di atas katil bersebelahan dengannya lalu mula membaca ayat-ayat yang terdapat dalam kitab suci umat Islam tersebut.

Tanpa menyedari Aleesyia sedang memerhatikannya, Iffah terus memulakan bacaannya dengan suara yang agak lantang sehingga mampu didengari oleh temannya yang sedang dilanda badai kesedihan.

Mendengar suara Iffah, perasaan yang ganjil mula menjengah hati Aleesyia. Terasa satu ketenangan yang belum pernah dia rasakan. Sangat tenang. Mendengar bacaan Al-Quran oleh Iffah, Aleesyia kini lebih tenang dari dia mendengar lagu-lagu cinta yang selama ini sering didengarkan pada telinganya. Tidak pernah dia merasakan ketenangan yang sebegitu.

Dihentikan lagu yang sedang bermain di telinganya dan menumpukan pada bacaan Iffah. Dipejamkan matanya. Sejak dari saat itu Aleesyia semakin tenggelam dalam ketenangan yang maha tenang baginya.


*********


“Aleesyia, tidur ka…?”

Aleesyia tersentak apabila Iffah menegurnya. Tidak dia sedar Iffah telah menghentikan bacaannya. Dia leka mendengar bacaan ayat-ayat dari kitab suci itu.

“Ah, taklah…” balas Aleesyia sambil mengesatkan air matanya yang telah kering di pipi.

“Oh, ingatkan tidur tadi…” Iffah menambah sambil memberikan sekuntum senyuman lalu meletakkan Al-Quran di bahagian paling atas pada lokernya. Aleesyia yang melihat senyuman Iffah, sedikit terpegun.

Entah kenapa, wajah Iffah yang telah dikenalinya sejak memulakan pengajian di situ tidak pernah dilihat muram atau masam. Sepertinya tidak pernah dilanda masalah. Menyedari renungan Aleesyia, Iffah menegur Aleesyia.

“Kenapa pandang Iffah macam tu? Ada apa-apa nak cakap ka?”

Sekali lagi Aleesyia tersedar dari lamunannya.

“Tak ada lah… Tak ada apa…” balas Aleesyia seolah malu kerana renungannya disedari. Dijawabnya tidak meskipun hatinya memang ada sesuatu yang ingin dikongsikan. Jika boleh dia ingin berkongsi masalah cintanya dengan Iffah tetapi malu, takut-takut Iffah memberikan ceramah agama pulak nanti.

“Cakaplah kalau nak cakaplah… Tak perlu segan-segan…” Iffah memujuk bagaikan telah mengetahui isi hati Aleesyia yang ingin membicarakan sesuatu. Namun, Aleesyia menggelengkan kepalanya. Iffah terus merenung Aleesyia, memujuknya…

Tidak lama, Aleesyia tewas dengan renungan Iffah lalu menagis semula. Iffah tidak terus menggelabah, sebaliknya cuba menenangkan sahabatnya itu.

“Tak apalah, Iffah tak nak memaksa. Kalau tak mahu kongsikan, tak apa…” kata Iffah sambil memeluk Aleesyia.

“Kalau nak nangis pun, nangislah puas-puas…” tambahnya lagi.

Setelah beberapa ketika, Aleesyia mengesatkan air matanya. Dicubanya untuk menahan sebak di dada. Dia ingin berkongsi masalahnya, tetapi tidak tahu dari mana untuk dimulakan.

“Masalah dengan Ridzuan ka….?” Iffah mula bertanya setelah melihat Aleesyia cuba untuk bertenang. Aleesyia mengangguk.

“Kenapa dengan dia?”

Dengan nada yang sebak, Aleesyia cuba untuk menjelaskannya pada Iffah.

“Tengah hari tadi, aku nampak dia dengan perempuan lain…” Aleesyia memulakan bicara.

“Aku tak tahu siapa perempuan tu, tapi aku dapat rasakan dia dah tak suka aku lagi. Aku.. Aku rasa perempuan tu awek dia yang baru… Kalau nak kata adik-beradik dia, tak mungkin sebab dia adalah anak tunggal. Kalau sepupu dia, mereka sangat mesra macam pasangan kekasih. Mereka berpelukan, takkanlah nak kata sepupu…”

Iffah hanya mendengar. Ada benarnya kata-kata Aleesyia itu.

“Dulu, masa awal perkenalan, macam-macam dia puji aku. Aku ni bagaikan bidadari yang turun dari syurga, rambut aku cantik, pipi aku cantik, bibir aku cantik, mata aku cantik… Pendek kata, semuanya tentang aku cantik pada mata dia…Dulu, ramai lelaki yang tergila-gilakan aku, tetapi aku pilih dia..”

“Tapi kenapa sekarang dia berubah? Apa salah aku…?” air mata Aleesyia yang sudah kering kembali menitis.

“Sudahlah, kalau memang dia dah tak sukakan Aleesyia lagi tinggalkanlah dia. Putuskan sahaja hubungan dengan dia…” kata Iffah.

“Tapi aku sayangkan dia. Aku tak sanggup nak putuskan hubungan dengan dia…” balas Aleesyia.

“Tapi adakah dia masih sayangkan Aleesyia?” Iffah menyoal.

Aleesyia terkedu. Soalan itu bagaikan sudah terjawab, Cuma dia sendiri yang tidak mahu mengakuinya. Dia membisu seketika sementara Iffah terus memandangnya, menantikan jawapan darinya.

“Tak…..” jawab Aleesyia dengan nada perlahan.

“Tengok, Aleesyia sendiri pun tahu jawapannya kan? Jadi, kenapa nak bersedih untuk dia lagi? Sekarang dah tak perlu ada apa-apa hubungan lagi antara korang berdua…” balas Iffah.

“Putus hubungan, hilang air mata…” tambah Iffah lagi.

Aleesyia mengesat lagi air matanya. Ada benar kata-kata “ustazah” itu. Tapi, sukar untuk dia menerima hakikat itu. Dia terpaksa memutuskan hubungan mereka. Lagipun, mereka telah mula bergaduh sejak tiga minggu lalu. Mereka berdua membisu seketika di dalam bilik mereka.

“Aku tak tahu kenapa, tapi, sejak tiga minggu lalu dia asyik menyalahkan aku sahaja…” Aleesyia memulakan bicara untuk meluahkan isi hatinya. Terasa untuk dia menceritakan hal pergaduhan dia dengan Ridzuan.

“Hubungan kami jadi dingin sejak sebulan yang lalu. Aku tak tahu siapa yang bersalah, diakah, atau aku? Kenapa dia tak mahu memahami aku? Bukannya aku tidak sanggup, tapi aku masih tahu menjaga diri aku…”

Iffah kehairanan dengan kata-kata temannya itu. Namun, terus mendengar.

“Kenapa dia tak mahu fahami aku? Ya, aku mengaku kami selalu keluar bersama berpacaran di waktu malam, berjalan berdua-duaan dalam tempat gelap. Tapi aku tak nak serahkan maruah aku pada dia sebelum dia jadi suami aku. Kenapa dia masih tak dapat nak terima?”

Mendengar pengakuan Aleesyia itu, Iffah sedikit terkejut. Memang dia sedia tahu mereka berdua selalu keluar bersama, tetapi tak sangka itu yang dipinta oleh Ridzuan. Walaubagaimana pun, dia bersyukur kerana Aleesyia tahu mejaga dirinya.

“Jadi, macam tu lah korang mula bergaduh?”

Aleesyia mengangguk. “Ya, mulanya aku sendiri tak sangka dia jenis orang yang macam tu. Tapi, aku menolak secara baik semasa kali pertama dia minta, dengan harapan dia dapat memahami aku. Bukannya sekali dia minta, tapi dah banyak kali. Setiap kali, aku menolak secara baik dengan harapan yang sama… Tapi kenapa dia tak dapat memahami aku…? Aku sayangkan dia, cuma aku tak mahu lagi….” Tambah Aleesyia dengan nada sebak.

“Sejak dari tu, dia mula menyalahkan aku dalam banyak perkara walaupun perkara- perkara kecil. Segala kata-kata pujian dia pada aku sebelum ini digantikan dengan kata-kata yang menyakitkan…”

“Tiada lagi pujiannya aku ini seperti bidadari syurga, tetapi dia mengatakan aku ini seperti perempuan jalanan…”

“Dulu aku ingatkan dia jujur untuk jadi kekasih aku, tapi sekarang aku sedar dia hanya pentingkan aku kerana nafsunya sahaja. Pada dia, aku hanyalah untuk memuaskan nafsu dia…”

“Sudahlah Aleesyia. Ternyata dia hanya mahu puaskan nafsu dia. Tak guna lagi Aleesyia menangis kerana dia…” Setelah sekian lama Iffah membisu, kini dia merasa gilirannya pula untuk berkata-kata. Dilihatnya juga Aleesyia telah mulai tenang.

“Dah ternyata dia hanya mahukan Aleesyia kerana nafsu, habis madu sepah dibuang…. Faham…?” Tambah Aleesyia.

“Bila dah bosan, dia tinggalkan aku..?” soal Aleesyia menanyakan kepastian. Dalam benak fikirannya, sekali lagi Iffah benar.

“Betul…”

“Alhamdulillah, Iffah bersyukur sangat sebab Aleesyia masih tahu menjaga kehormatan diri dan tak termakan hasutan macam orang lain yang kita dengar. Itu maknanya ALLAH masih sayangkan Aleesyia. Syukur sebab Aleesyia masih tahu akan dosa melakukan perkara tu…”

Aleesyia mendiamkan diri, tidak tahu untuk mengeluarkan kata-kata.

“Iffah….”

“Ya…” balas Iffah setelah gadis itu memanggilnya.

“Aku nak Tanya kau, tapi tolong jawab dengan jujur ya..”

“Ya, bohong itu kan berdosa….” balas Iffah dengan senyuman melihatkan sahabatnya itu telah tenang kembali.

“Engkau tak pernah jatuh hati ke…?” soal Aleesyia.

Iffah diam seketika, membisu seolah-olah mencari jawapan bagi soalan itu.

“Pernah ke..?” tambah Aleesyia lagi setelah mendapati Iffah masih belum menjawab.

Dengan sekuntum senyuman, Iffah menjawab, “Pernah…..”

Tercengang Aleesyia mendengar jawapan itu dari mulut Iffah.

“Eh! Betul ke..?” dia bertanya sekali lagi untuk kepastian. Mungkin dia tersalah dengar. Namun, dia tidak silap apabila Iffah mengangguk dengan sekuntum senyuman, membenarkan kenyataannya tadi.

“Ah…. Tak sangka Ustazah Iffah pun jatuh cinta…” dek kerana usikan itu, Aleesyia dicubit manja oleh insan yang dipanggil Ustazah Iffah oleh Aleesyia.

“Habis tu…?” Aleesyia memberi respon.

“Habis tu…?” Iffah kehairanan dengan respon Aleesyia itu.

“Habis tu apa jadi? Ceritalah…” Aleesyia kini teruja untuk mengetahui kisah cinta Iffah.

“Tak ada apa… Mulanya, memanglah kami dikatakan asyik bercinta. Tapi…”

“Tapi apa…?” celah Aleesyia.

“Tapi sekejap aja. Kami sedar, tak ada gunanya kami meneruskan hubungan ini…” Iffah menghentikan kisahnya.

“Itu saja…?” soal Aleesyia kehairanan dengan kisahnya.

“Itu saja…”

“Kenapa?” Aleesyia ingin mendapatkan jawapan.

“Zina merupakan satu dosa besar dan tidak diampunkan kecuali jika benar-benar telah bertaubat… Disebabkan itulah, segala perbuatan yang mendekati kepada zina juga adalah dilarang sama sekali dan juga berdosa. ” terang Iffah kepada Aleesyia.

Melihatkan Aleesyia yang kelihatan tidak faham, Iffah meneruskan penerangannya.

“Apabila orang bercinta, biasanya mereka akan keluar berdua-duaan dan banyak menghabiskan masa bersama. Waktu itu, pada mata kita hanyalah berdua tapi sebenarnya ada pihak yang ketiga iaitu syaitan. Syaitan akan terus-menerus menghasut mereka untuk menghampiri kepada perkara yang hampir kepada zina…”

“Daripada berduaan di tempat terbuka, lama-lama mereka akan ke tempat-tempat yang gelap. Kemudian tempat-tempat yang tertutup. Akhirnya….” Iffah menghentikan kata-katanya setakat itu.

Aleesyia seolah-olah faham. Begitulah perkara yang berlaku pada dirinya. Dia mula menginsafi perbuatannya keluar berduaan dengan Ridzuan.

“Tapi, engkau kan alim… Takkanlah engkau tak mampu lawan?”

“Alim tidak bermakna dapat terlepas dari hasutan syaitan. Adakalanya aku juga mungkin tewas…”

“Kalau macam tu, kenapa tidak engkau bercinta sahaja, cuma tak keluar berduaan..?” tanya Aleesyia lagi.

           Iffah melontarkan sekuntum lagi senyuman. “Zina bukan sekadar pada yang Aleesyia faham sahaja, tapi masih ada zina hati…”

             Aleesyia menunjukkan riak wajah tidak faham.

          Sekali lagi Iffah melontarkan senyuman. “Bila kita mengingati si kekasih, itulah zina hati. Itu tak sepatutnya kita lakukan sebab kita boleh lalai daripada mengingati ALLAH dan sebagai umat Islam, kita tidak boleh lalai daripada-NYA walaupun sedetik.”

          “Iffah tidak mengharapkan Aleesyia untuk faham zina hati buat masa sekarang. Suatu hari nanti Aleesyia akan faham… Sebab itulah kami putuskan hubungan…” tambahnya lagi sambil tersenyum. Aleesyia merasa pelik kerana ustazah itu selalu sahaja senyum tetapi kerana senyuman itu jugalah yang telah membuatkan hatinya sedikit tenteram.

“Habis tu, takkanlah tak ada perasaan pada dia lagi..?”

“Maksud Aleesyia, lelaki tu..?”

“Ya…”

Sambil melontarkan senyuman Iffah menjawab, “Walaupun masih ada perasaan suka, tapi tak ada apa yang dapat kami lakukan. Ibu bapa Iffah mensyaratkan Iffah supaya menamatkan pengajian dulu. Jadi, tak ada apa yang boleh kami lakukan…”

“Tak takut dia berubah hati ke..?”

“Tak. Kalau dia memang jodoh Iffah, dia akan kahwini Iffah. Kalau tidak, orang lain yang akan menjadi suami Iffah. Jadi, kenapa perlu risau? Setiap orang telah ditetapkan jodohnya. Memang benar kita perlu berusaha, tapi sekarang bukanlah masa untuk kami mendirikan rumah tangga lagi…”

“Iffah, kau masih ada perasaan kat dia ke..?” Aleesyia cuba menduga ustazah itu.

Bersama senyuman, Iffah mengangguk.

“Oh… Gatal jugak kau ye…” usik Aleesyia disertai tawa mereka berdua.

“Iffah…”

“Ye…”

“Engkau tak panas ke pakai tudung labuh, baju labuh, besar pulak tu…?” soal Aleesyia.

“Tak panas langsung, malah selesa lagi…” balas Iffah sambil tersenyum lagi.

“Takkan tak panas langsung?” soal Aleesyia seakan-akan tidak percaya.

“Kurang panas. Kalau pakai baju longgar lebih banyak ruang untuk udara beredar, jadi kuranglah rasa panas… Lagipun, panas dunia tak setanding neraka…”

Tanpa diketahui Iffah, hati Aleesyia sedikit tersentuh dengan kata-kata Iffah yang seolah menyindir. Tetapi dia faham bukanlah maksud Iffah untuk memerlinya.

“Lagipun, pakaian yang menutup aurat dengan sempurna itu sebenarnya adalah untuk melindungi maruah kaum wanita. Tidak ada lelaki yang sanggup menganggu perempuan yang kelihatan baik. Kalau pakaian seksi, lebih tinggi kemungkinan untuk wanita dirogol… Aleesyia nak ke dirogol..?” jelas Iffah lagi.

“Ah! Tak naklah….”

“Lagi satu….”

“Apa dia?”

“Kalau tutup aurat dengan sempurna, insyaallah lelaki yang suka pada kita tu bukan sukakan kita kerana nafsu…” tambah Iffah sambil tersenyum lagi.

Aleesyia mengangguk tanda faham.

“Iffah….”

“Ye…”

“Errr…. Aa…” Aleesyia teragak-agak untuk mengeluarkan kata-kata.

“Apa dia? Cakaplah…”

“Esok… Esok, aku nak pakai tudung pergi kuliah…”

Mendengar pengakuan dari temannya yang selama ini ‘free hair’ itu, Iffah seolah-olah sukar untuk mempercayainya.

“Betul ke..?” Iffah menyoal untuk kepastian.

“Betullah… Tapi aku tak ada tudung…”

“Oh… Kalau macam tu cuba mintak kat Farhana, nak ke Aleesyia pakai tudung besar dan labuh macam Iffah?” Iffah member i respon sambil tersenyum lagi.

“Ah! Tak nak lah, aku masih belum sedia nak pakai tudung labuh…” balas Aleesyia.

Iffah hanya melontarkan senyuman kepada Aleesyia, tidak ada apa-apa lagi yang ingin dia katakan. 

Hari ini, hatinya sedikit gembira kerana teman sebiliknya itu ada keinginan untuk berubah ke arah yang lebih baik.

“Er, Iffah… Satu lagi soalan..”

“Apa?’

“Bukankah sebelum ni kau selalu solat di surau, kenapa dalam sebulan ni kau solat dalam bilik je?”

“Betul nak tahu?” soal Iffah lalu Aleesyia mengangguk.

“Sebab dah hampir dua bulan Iffah tak nampak Aleesyia solat. Takkan cuti lagi..?” balas Iffah dengan selamba.

Tersentuh dengan kata-kata itu, namun dia sedar akan perkara itu dan dia tidak menyalahkan Iffah.

“Iffah, terima kasih kerana sedarkan aku… Terima kasih… Mulai hari ini, aku tanamkan azam dalam diri aku untuk berubah…” bisik hati kecil Aleesyia.

No Response to "ALEESYIA"

Post a Comment