Tuesday, December 1, 2009

LAYAR KEINSAFAN

0
Oleh : tinta muadzin


”Sepi benar senja ini,
Bayunya semilir menganak ombak kecil,
Jalur ufuk pula mengemas terang,
Kapal dan layar terkapar.....”


Bait-bait Layar Keinsafan seolah menggambarkan suasana senja ini. Petang ini tidak seperti petang-petang yang lain, tiada kanak-kanak yang sebelum ini sering kali bermain-main hadapan rumahku ini. Sunyi sekali. Bayu yang bertiup terasa begitu dingin benar membuatkanku leka menikmatinya. Kelihatannya ufuk petang mulai gelap menghampiri malam. Tidak lama lagi kegelapan akan menyelubungi bumi ini. Namun, masih ada lagi kapal-kapal yang kini pulang setelah meredah lautan demi mencai rezeki yang dikurniakan Tuhan.


Aku keseorangan. Tiada lagi tawa ria anak-anak di rumah ini, tiada lagi isteri yang dahulunya menemaniku di kala kesunyian. Anak-anakku telah pun menetap di bandar bersama keluarga mereka. Masing-masing sibuk dengan urusan sendiri dalam mencari rezeki. Isteriku telah pun meninggal setahun yang lalu. Kini aku tinggal berseorangan di rumah usangku ini.


Aku terkenangkan isteriku yang telah pun menghadap Tuhannya, ”Bagaimanakah nasibnya di alam itu...? Ya ALLAH, ku mohon pada-Mu, ampunilah dosa-dosa isteriku. Sesungguhnya dia merupakan wanita solehah yang taat kepadaku serta kedua orang tuanya dan juga orang tuaku. Tidak pernah walau sekali dia menyakiti orang tua kami. ENGKAU ampunilah dia, hindarkanlah dia dari azab di alam barzakh-Mu dan tempatkanlah dia di kalangan orang yang bertaqwa..”


Aku terus perhatikan kapal-kapal di lautan. Mengapa dinantikan senja baru kan terdetik di hati mereka untuk pulang? Mungkin kerana sedar bahaya malam yang akan menanti mereka jika mereka terus berlayar. Kematian isteriku benar-benar suatu kehilangan bagiku. Dia merupakan wanita yang terbaik pernahku temui, tidak ramai wanita sepertinya di dunia ini. Wanita solehah yang sentiasa menyenangkan hati suaminya, senyumannya mampu menyejukkan hati yang panas, menenangkan jiwa suaminya ini.Tidak pernah kulihat dia meninggalkan solat, perintah ALLAH dituruti dengan baik tanpa penat dan jemu. Suruhanku, dia patuhi tanpa banyak alasan.


Terdetik dalam hati kecilku ini, aku bersyukur dianugerahi isteri sepertinya. Namun aku merasakan diriku ini bukanlah suami yang baginya. Aku seringkali melupai Tuhan Yang Maha Berkuasa atas segala-galanya. Aku sering kali leka dengan nikmat dunia ini yang tidak pernah putus. Dalam kehidupanku seharian, aku bekerja, aku bergaul, dan aku lalui hari-hariku tanpa aku ingat akan Tuhanku. Sering kali aku tinggalkan solatku kerana ku merasakan urusan duniaku lebih penting sehingga aku melupakan urusan yang menantiku di akhirat nanti. Sungguh aku telah tewas di lautan nikmat duniawi. Aku terkenangkan kehidupanku dahulu....


Kenikmatan dunia telah menghanyutkan aku. Kerja keras aku selama beberapa tahun dalam perniagaan aku berjaya menjadikan sebagai seorang jutawan yang berjaya. Perniagaan aku amat besar dan pasaran yang aku kuasai begitu luas, bukan sahaja di Malaysia, malah Kanada, Jepun, China, Korea serta negara-negara besar yang lain. Hari demi hari, perniagaanku semakin maju dan hari demi hari, aku sibuk menguruskan perniagaan aku.


Semakin lama, aku semakin alpa. Hari berganti hari, aku merasakan bahawa aku adalah ahli perniagaan yang hebat. Perniagaan aku amat besar. Lama-kelamaan aku menjadi bongkak. Aku merendah-rendahkan mereka yang aku rasakan tidak pandai menguruskan perniagaan, malah aku mengejek-ngejek orang lain kerana tidak mahu terlibat dalam perniagaan untuk menjadi kaya.


Masa terus berlalu, ALLAH terus memberikan aku nikmat-Nya yang tidak aku syukuri. Aku kian bongkak lantaran kekayaanku yang semakin bertambah. Zakat, aku abaikan. Sedekah, aku tinggalkan. Orang miskin, aku hina mereka terutama sekali peminta sedekah malah aku mengherdik mereka dan menghalau mereka dari istana aku yang dihias indah bagaikan mahligai, kereta aku besar-besar dan mahal-mahal belaka, namun tidal pernah pun terlintas di benak fikiran aku untuk berkongsi kekayaan aku itu dengan mereka yang tidak berkemampuan.


Lebih hina lagi, aku tidak mengakui ibu bapaku yang selama ini melahirkan dan membesarkan aku, mendidik aku sehingga berjaya begini. Aku juga pernah berkata pada mereka, ”Jangan kamu datang berjumpa aku di rumah aku! Aku tak mahu orang lain kenal kamu. Malu aku! Malu! Aku sanggup bagi kamu wang tiap-tiap bulan, tapi aku tak akan balik ke rumah kamu yang buruk ini dan kamu jangan datang ke rumah aku! Kamu tu orang miskin, kerja pun malas! Cuma tahu tumpang kekayaan orang saja!”


Telah lama aku lupakan siksanya saat kematian yang tidak aku ketahui masanya. Aku telah lupa bahawa azabnya seksaan di alam barzakh yang sentiasa menantiku untuk meratah tubuhku ini. Aku telah lupa bahawa dahsyatnya keadaan di padang mahsyar-Mu, di mana tiada pertolongan bagiku. Aku telah melupakan azabnya seksaan di neraka-Mu yang sentiasa menyala-nyala apinya dan tidak akan padam.


Akan tetapi, kekayaan aku tidak kekal selama-lamanya. Aku menghadapi masalah dalam perniagaan aku setelah 7 tahun aku bermegah dengan kekayaan aku.Berlaku perbuatan khianat dalam syarikat aku. Ramai CEO dalam syarikat aku menggelapkan wang syarikat. Lama-kelamaan syarikat aku kekurangan modal dan mereka yang menggelapkan wang syarikat pula meletakkan jawatan sebelum aku menyedari akan perkara ini. Akibat perkara ini, aku semakin runsing memikirkannya. Setiap hari yang aku lalui, hidup aku tidak lagi tenang. Akhirnya aku terpaksa gulung tikar dan kembali miskin sebagaimana keadaan aku ketika masih di bawah tanggungan ibu bapa aku.


Sahabat? Mereka yang selama ini aku anggap sebagai saudara aku rupa-rupanya mata duitan. Mereka hanyalah mahu berkongsi kemewahan yang aku miliki.Apabila aku tidak lagi berwang, terus mereka tinggalkan aku terkapai-kapai meminta pertolongan. Ketika itu, aku memikirkan masalah yang di hadapi ahli keluarga aku. Kami tidak lagi mempunyai banglo mewah, kereta besar, pemandu yang akan menghantar kami ke mana sahaja sperti dahulu. Kami kini, terpaksa menggadaikan segala harta kami demi melunaskan hutang aku termasuklah menggadaikan rumah aku.


Nasihat isteriku, ”Pulanglah menemui ibu dan ayah Abang! Mintalah ampun dengan mereka. Semua yang terjadi ini adalah dari dosa abang terhadap mereka... Ingatlah, mereka jugaklah yang telah bersusah payah demi memastikan Abang mendapat pendidikan yang baik sehingga Abang berjaya.. Selama ini Abang lupa kepada mereka, Abang derhaka kepada mereka. Tapi sekarang pulanglah kepada mereka...”


Ketika itu aku mulai ingat akan ibu bapa aku. Tetapi, hati aku masih keras. Aku tidak mahu kembali ke sana dan tinggal di rumah usang itu. Aku masih lagi merasakan aku tidak sepatutnya berada di sana. Perasaan sombong masih lagi tebal dalam diri aku ini. Aku juga malu untuk kembali kepada mereka. Aku bimbang mereka tidak akan menerima aku lagi, bimbang mereka juga akan menghalau aku sebagaimana aku mengahalau mereka dahulu. Akan tetapi, rangsangan dari keluarga aku yang masih setia bersama aku melemahkan keangkuhan aku. Meskipun aku risau mereka akan meminggirkan kami sebagaimana rakan-rakanku, aku tebalkan mukaku menemui mereka, kembali kepada mereka.


Lalu, kami pulang semula ke tempat di mana aku dibesarkan. Sampai sahaja aku di muka pintu, salam kami beri. Keadan sunyi untuk jangka yang lama membuatkan aku bertambah benci. Aku semakin yakin bahawa mereka sudah tidak mempedulikan aku lagi. Aku ingin melangkah pergi dari situ, tapi tiba-tiba....


“Wa’alaikumussalam.....”, kedengaran salam dijawab dan daun pintu dibuka.
Aku lihat ke arah orang yang membuka pintu itu. Ternyata raut wajahnya seakan-akan telah lama menanti kepulangan aku. Sinar wajahnya menggambarkan keriangan tatkala melihat aku di hadapan rumah usang itu. Senyuman yang terukir di bibirnya menunjukkan bahawa kerinduannya selama ini telah pun terubat. Jauh bezanya daripada mereka yang aku anggap sebagai sahabat aku dahulu.


“Masuklah Is.... Ayah kamu ada di dalam. Dah lama dia tunggu kamu.....” kata ibu yang berdiri di muka pintu itu.


Aku terharu. Walaupun selama ini aku derhaka kepada mereka, mereka tetap menyayangi aku. Aku mula menitiskan air mata setelah sekian lama aku hidup mewah. Dadaku sebak. Tanpa berkata apa-apa, aku terus melepaskan beg di tangan aku dan meluru ke arah ibu. Tangannya aku pegang, aku cium dan aku peluk tubuhnya yang sudah tua itu.


”Ibu! Maafkan Is, ibu! Is dah derhaka kepada ibu! Kini Is sedar, Is dah banyak buat salah pada ibu dan ayah... Maafkanlah Is....”, aku menangis dalam pelukan ibu. Saat itu, aku merasakan kasih sayang yang tidak pernah diberikan oleh rakan-rakanku selama ini, malah tidak dapat dibandingkan kasih mereka dengan kasihnya ibuku, jauh sekali bezanya....


”Ayah..!!”, aku meluru ke arah ayah yang terbaring lemah di pembaringannya.
”Ayah..!! Maafkan Is, ayah... Is dah derhaka kepada ayah... Is sombong dengan ayah...”, kataku sambil memeluk dan mencium tangannya yang sudah berkerut seribu itu. ”Ayah... Is menyesal, ayah... Maafkan Is, ayah.....” aku menambah.


”Is... Is.....”, kata ayah dalam suara yang terketar-ketar.
”Ya ayah...”.
”Dah lama ayah maafkan Is... Janganlah Is risau… Kami akan tetap menerima Is di rumah usang ini…. Inilah sahaja yang mampu kami berikan kepada kamu. Kami tidak mampu memberikan kamu kemewahan. Tapi inilah yang kami mampu.. tinggallah di sini dengan kami... Kami dah lama rindukan Is....”, kata ayah dengan nada perlahan.


”Tak mengapa ayah. Is dah tak kisah akan semua itu lagi. Is dah sedar, tidak ada sesiapa yang dapat menggantikan kasih seorang ayah dan ibu. Is dah menyesal. Selama ini, menantu ayah itu selalu nasihatkan Is, tapi Is tak nak dengar. Is hanyut dengan dunia, Is megah dengan kekayaan Is..... Tapi sekarang Is dah tak kisah semua itu lagi.... Is janji, Is akan tinggal dengan ibu dan ayah. Biarlah Is balas jasa ibu dan ayah..... Is akan bela ibu dan ayah....”


Ya Tuhanku, aku telah pun menginsafi diriku ini. Aku sedar, sesungguhnya segala nikmat yang aku kecapi pada hari ini adalah dari-Mu. Kini aku bersyukur, kerana ENGKAU masih hadirkan insan-insan yang terus menemani aku. Sejak itu, aku mula mendekatkan diri aku kepada Tuhan yang telah lama aku lupakan. Nasihat isteriku yang dahulunya aku abaikan, kini aku turuti satu-persatu dengan taat.


”Abang, semua harta ini adalah dari ALLAH. Bukan hasil dari usaha Abang sahaja. Andainya tiada rezeki yang lebih untuk kita, tidak akan kita mendapat lebih daripada apa yang ALLAH akan berikan.... Abang, bersyukurlah. Patuhlah perintah ALLAH, taati ibu dan ayah Abang di kampung.... Jagalah mereka dengan baik, jangan derhaka kepada mereka... Ingat, merekalah yang dahulunya berusaha kerana mahukan Abang berjaya.....”, itulah antara nasihat yang senantiasa bermain dalam kotak fikiran aku. Dek kerana kesombongan aku dahulu, aku tidak pernah menghiraukan kata-kata isteriku itu.


Sejak hari itu aku berubah. Aku mulakan perniagaan kecil-kecilan di kampung. Pada mulanya memang sukar bagi aku kerana penduduk kampung tahu aku pernah menderhaka. Namun, atas sokongan keluarga, kutetap teruskan juga, kukuatkan juga semangat aku untuk teruskan perniagaan aku itu. Biarlah orang kampung memulaukan aku, asalkan aku dapat mencari rezeki halal dengan tenang. Ku tak mahu lagi menjalani hidupku seperti dahulu, penuh dengan kerisauan menguruskan syarikat.


Mulanya, aku menerima kutukan dari penduduk kampung itu, akan tetapi, lama-kelamaan mereka dapat menerima aku. Aku mula melayani setiap orang dengan baik, tidak lagi seperti dahulu. Rezeki yang kuterima, akan ku kongsinya dengan orang lain, ku banyakkan sedekah, ku hulurkan bantuan kepada sesiapa sahaja selagi aku mampu....


Matahari kian terbenam, kelihatannya kapal-kapal di persisiran sudah hampir di pantai. Beburung pula terbang pulang ke sarang. Suasana sepi dan sunyi. Sesekali terdengar desiran ombak memukul pantai. Tenang. Bayu yang bertiup, dingin sekali. Di sinilah aku sekarang, keseorangan di rumah usang peninggalan ibu bapaku yang dahulunya pernah aku hina. Aku merasakan diriku ini cukup hina, telah banyak dosa yang kulakukan. Kini, aku hanya ingin mencari ketenangan bersama secebis keinsafan dalam hidupku seharian. Ku hanya ingin menggapai redha ALLAH agar ku terlepas dari seksaan neraka yang tidak pernah tergambar dalam minda makhluk berakal sepertiku ini. Ya ALLAH! Berikanlah aku hidayah


”Tuhan, layarkanku ke arah cinta-MU,
Tuntuniku menggapai redha-Mu,
Rimbunan kasih-Mu kuberteduh,
Kepada Mu Ya Tuhan,
Berikan secebis keinsafan,
Bekalan sepanjang perjalanan mencari ketenangan....


Biar Kau menjadi saksi,
Tulus tangisku kala dini hari,
Kesempatan yang hanya sebentar,
Moga keikhlasanku terlakar,
Berikanlah ku hidayah,
Agar dikuatkan iman yang lemah,
Moga diberkati hidup ini,
Menuju bahagia yang kekal abadi,


Harapanku moga dikurniakan,
Manisnya iman berpanjangan,
Moga lautan hilang gelora.....”

No Response to "LAYAR KEINSAFAN"

Post a Comment