Wednesday, September 1, 2010

BERIKAN DIA TEMPAT TINGGAL

0
   Oleh : tinta muadzin
  
   Panas terik. Dia berjalan mengharungi pentas dunia di bawah pancaran matahari yang dirasakan bagai membakar dirinya. Berjalannya ia, dari satu tempat ke tempat yang lain hanyalah untuk mencari sebuah tempat tinggal yang dirasakannya selesa. Dia tidak mengatakan rumah yang besar, berhawa dingin dan kelihatan serba mewah itu sebagai selesa. Tetapi cukuplah baginya jika hanya sekadar satu ruang yang cukup untuk dirinya. Dia juga tidak mengatakan perlunya tilam yang empuk itu sebagai tempat untuk dia tinggal, tetapi memadailah jika hanya papan yang menjadi alas untuk dirinya. Dia juga tidak memerlukan almari pakaian yang besar kerana pakaian yang ada pada dirinya dirasakan sudah terlalu mewah dan dia sendiri sudah pun bersyukur dengan pakaian yang telah ada padanya.

   Dia berjalan, mencari tempat tinggal kerana Orang Tua yang memberikannya tempat tinggal sebelum ini telah pun meninggal dunia dan oleh kerana itu, tiada lagi tempat untuk tinggal bagi dirinya. Orang Tua itu tidak mempunyai waris untuk dia menumpang tempat. Sepanjang hidup, Orang Tua itu tinggal bersendirian. Hanya dialah yang menemankan Orang Tua itu setiap hari.

   Dia menjadi teman, dia menjadi penghibur dan dialah yang menjadi pengubat kesunyian Orang Tua itu pada setiap bilahan harinya. Orang Tua itu tinggal bersendirian di sebuah pinggir kota raya. Tiada sesiapa pun yang mempedulikannya. Isteri dan anak-anaknya telah terlebih dahulu pergi menghadap Pencipta, meninggalkannya seorang diri. Sejak itu, hanya dialah yang sering menemani lelaki tua itu setiap masa. Apa sahaja yang ingin diketahui Orang Tua itu, dia akan khabarkan kepadanya. Dia tidak pernah sesekali ingin meninggalkan Orang Tua itu, dia sangat mencintai Orang Tua itu.

   Dia terus berjalan merentasi terik matahari ciptaan Ilahi. Sedikit pun dia tidak kisah akan panas yang hampir membakar tubuhnya itu. Langkahannya perlahan. Matanya tajam memerhatikan sekeliling jikalau ada sesiapa yang dapat dia pinta untuk menumpang tinggal.

   Deretan bangunan di kiri dan kanan jalan menempatkan pelbagai jenis kedai. Kedai elektrik, kedai runcit, kedai makan, dan kedai alat tulis. Dia mencari kedai yang dimiliki oleh orang Islam. Dikunjunginya setiap kedai itu satu persatu.

   “Siapakah tuan kedai ini? dia bertanya.
   “Saya. Ada apa kamu mencari saya?” jawab lelaki, si pemilik kedai.
   “Adakah kamu Islam?”
   “Ya, saya Islam. Kenapa?” tanya lelaki itu kembali.
   “Tuan, saya sudah uzur. Izinkan saya untuk tinggal di sini walaupun sebentar”, pintanya lembut.

   “Maaflah. Ini adalah sebuah kedai, bukan rumah untuk kamu. Maaf, saya tak dapat izinkan”, jawab lelaki itu.

   Maka, berlalulah dia dari kedai itu. Kecewa. Pemilik kedai alat tulis tadi tidak mahu menerimanya. Dia masuk pula kedai di sebelahnya, sebuah kedai elektrik.

   “Siapakah pemilik kedai ini?” dia bertanya kepada seorang wanita.
   “Adakah tuan ingin berjumpa dengannya?” balas wanita itu kembali.
   “Ya, saya ingin berjumpa dengannya” dia menjawab.
   “Sila ikut saya.” Maka, dia mengkut wanita itu masuk ke dalam sebuah pejabat. Di dalamnya penuh dengan pelbagai hiasan seperti gambar pemandangan yang indah, ukiran-ukiran yang halus buatannya dan berhawa dingin pula. Sungguh selesa.

   “Ada apa kamu mahu berjumpa saya?” seorang lelaki bertanya kepadanya.
   “Saya ingin menumpang tinggal di sini. Cukuplah walau hanya satu malam”, dia menjawab.

   “Maaflah. Ini adalah sebuah kedai, bukan rumah saya. Saya tidak dapat membenarkan kamu tinggal di sini”, jawab tuan kedai ini.

   Sekali lagi, dia berjalan keluar dari kedai itu. Kecewa. Dia pergi pula ke kedai bersebelahan kedai elektrik itu. Dilangkahnya masuk. Sebuah kedai makan. Dihidangkan pelbagai jenis makanan yang enak dan lazat. Para pengunjung bebas untuk memilih makanan yang mereka suka. Dilihatnya, ramai yang mengisi perut mereka di kedai itu. Namun, dia tidak mengunjungi kedai makan itu untuk menikmati juadah di situ.

   “Siapakah tuan kedai ini?” dia bertanya kepada seorang lelaki yang agak berumur di kaunter bayaran.

   “Sayalah tuan kedai ini. Ada apa tuan mahu berjumpa saya?” balas lelaki itu ingin mengetahui hasratnya.

   “Adakah kamu Islam?”
   “Ya, saya orang Islam”, lelaki itu kehairanan mendengar soalannya.
   “Izinkan saya untuk menumpang tinggal di sini. Cukuplah jika hanya sekadar satu malam sahaja”, dia mendengarkan keinginannya kepada lelaki itu.

   “Oh! Maaflah, saya tak dapat mengizinkan kamu tinggal di sini. Kedai ini sudah terlalu penuh. Tiada ruang bagi kamu untuk tinggal di sini.”

   “Tuan, cukuplah bagi saya jika hanya sebuah meja sahaja”, dia cuba memujuk.
   “Maaf. Meja di kedai ini untuk para pelanggan saya. Mereka datang untuk makan, bukan untuk melihat kamu”, balas lelaki itu.

   “Tuan, jika begitu cukuplah sekadar sedikit ruang di sebuah sudut kedai ini”, dia tetap cuba memujuk.

   “Maaf, nanti kamu akan menyebabkan kedai ini menjadi sempit”, lelaki itu masih menolak.

   “Bagaimana pula jika di bahagian dapur?”
   “Maaf! Saya tak dapat tunaikan permintaan kamu. Bahagian dapur sudah terlalu sempit. Nanti tukang masak tidak dapat melakukan kerja mereka kerana kamu.”

   Dia kecewa.
   “Maaflah! Saya tak dapat tunaikan permintaan kamu. Sudahlah, jangan merayu pada saya lagi. Pergilah tanyakan di kedai sebelah, mungkin dia akan izinkan kamu”, tambah lelaki itu di samping memberikan cadangan.

   Maka dia berlalu dari kedai itu. Kecewa lagi. Kakinya dilangkahkan menuju ke kedai yang dicadangkan pemilik kedai makan tadi. Dia mendongak.

   “Kedai Runcit Bakar Din”, tertera nama kedai itu di hadapannya. Dia melangkah masuk.

   “Mahu apa tuan?” seorang wanita bertanya kepadanya dengan suara yang lembut.
   “Adakah kamu pemilik kedai ini?” dia bertanya kepada wanita itu.
   “Oh! Tuan mahu berjumpa suami saya? Dia ada di dalam, silakanlah masuk.”
   “Terima kasih.”

   Dia berjalan masuk ke dalam. Di dalam, seorang lelaki sedang duduk di kerusinya. Bibirnya terkumat-kamit seolah-olah sedang membaca kertas-kertas di hadapannya. Di hadapannya terbentang sebuah meja. Semak meja itu. Di atas meja itu, penuh dengan kertas yang tidak diketahui isi kandungannya. Dia tidak dapat membaca.

   “Ada apa kamu ke mari?” tanya lelaki itu.
   “Izinkan saya tinggal di sini walaupun hanya satu malam.”
   “Apa? Tidakkah kamu nampak? Di kedai ini tiada ruang untuk kamu tinggal. Seluruh kedai dipenuhi barangan runcit. Bagaimana saya mahu izinkan kamu tinggal di sini?” balas lelaki itu.

   “Tuan, cukuplah jika sekadar sebuah ruang yang sempit yang dapat memuatkan diri saya. Tak lebih dari itu”, dia membalas lembut.

   “Maaf, saya tak dapat tunaikan permintaan kamu. Lagipun, saya tak mempercayai kamu. Silap-silap, kamu akan menyebabkan barang-barang dalam kedai saya ini hilang.”

   “Tuan, saya jamin tak akan ada barangan tuan yang hilang. Insyaallah, jika saya tinggal di sini, perniagaan tuan akan lebih maju.”

   Lelaki itu memandangnya dalam keadaan sedikit tunduk. Mata lelaki itu tepat memerhatikan ke arahnya. Dia menjadi gementar.

   “Apa maksud kamu?” lelaki itu tiba-tiba menyoal setelah beberapa lama membisu.
   
   “Saya akan memberikan kamu ilmu yang tidak ramai orang memilikinya. Dengan ilmu ini, insyaallah perniagaan kamu akan bertambah maju. Saya akan ajarkan segala ilmu yang ada pada saya kepada kamu dan tidak sedikit pun akan saya sembunyikan. Saya akan berikan semuanya kepada kamu”, dia memberi jaminan.

   “Ah! Saya tak mahu ilmu kamu itu. Buang masa saya sahaja. Lebih baik saya uruskan perniagaan saya. Apa kata kalau kamu bekerja untuk saya?”

   “Tuan, keadaan saya ini sudah uzur dan saya pula serba kekurangan. Anggota saya tidak lengkap seperti tuan yang mempunyai dua tangan dan dua kaki. Bagaimana saya mahu bekerja untuk tuan?” balasnya kembali.

   “Jika begitu, tidak ada ruang untuk kamu di sini. Pergilah kamu mencari di tempat lain”, lelaki itu menolak permintaannya.

   Maka, sekali lagi dia berjalan keluar dengan rasa kecewa. Hatinya menangis, hanya kerana sabar yang telah lama bertapak dalam dirinya sahaja yang membuatkan air matanya tidak mengalir.

   Hari semakin panas. Dalam setiap langkahnya, hanya satu sahaja yang bermain di benak fikirannya, “Siapakah yang sudi menerima aku untuk tinggal bersama? Aku tidak peduli berapa lama dia sanggup menumpangkan aku, cukuplah walaupun sekejap…” Begitulah rintihan hatinya yang terlalu inginkan tempat tinggal. Dia terus berjalan di tengah kota raya itu mencari gerangan yang sudi menumpangkannya.

   Dalam perjalanannya di tengah kota itu, dia menemukan dengan sebuah bangunan tinggi yang tersergam indah. Tingginya tidaklah sehingga mencecah langit, hanya sekadar cukup untuk dikatakan sebagai bangunan yang tinggi. 

   “Syarikat Farsahul Sdn. Bhd.” tertera pada tingkat paling atas bangunan itu.

   Dia teringat akan tempat-tempat yang pernah dilewatinya sebelum ini. Difikirkannya. “Tempat-tempat yang aku kunjungi sebelum ini, semuanya kecil-kecil belaka.” Maka ketika itu, dia pun teringat pada kedai buku, kedai elektrik, kedai makan dan kedai runcit sebelum ini. Benar, semua kedai-kedai itu bersaiz kecil berbanding bangunan di hadapannya sekarang. Maka, secara tidak sengaja muncul idea yang baru.

   “Jika sebelum ini tiada ruang untuk aku disebabkan ruang yang terlampau kecil, mungkin di sini akan ada ruang untukku…” fikirnya.

   Oleh itu, dia pun melangkah masuk ke dalam bangunan itu. Dilaluinya sebuah pintu yang terbuka dengan sendirinya tatkala dia berdiri di hadapan pintu tersebut. Canggih. Dia pun menghampiri sebuah kaunter.

   “Er, cik…” dia menegur seorang wanita muda, 20-an.
   “Ya, boleh saya bantu encik?” soal wanita muda itu.
   “Bolehkah saya menumpang tinggal di sini? Saya tak kisah berapa lama pun, hatta satu malam saja sudah memadai”, jawabnya.

   “Aaa.. Maaf ya, encik. Tentang ini, saya tak dapat berikan kelulusan. Mungkin encik boleh tanya pada mereka yang berada di atas”, jawab wanita muda itu dengan menundukkan mukanya tanda hormat.

   Sekali lagi dia dikecewakan. Namun dia sedar, wanita muda itu bukanlah pemilik syarikat sebesar ini. Wanita itu hanyalah seorang pekerja bawahan di syarikat ini. Kerana itu, dia tidak terlalu sedih kerana dia memahami situasi wanita muda itu.

   Dia terus berjalan mendekati sebuah lif yang ada berdekatan. Ramai yang menunggu. “Pastinya mereka ini adalah orang-orang yang dimaksudkan wanita muda tadi…” bisik hatinya. Setelah beberapa lama dia berfikir, dia mengambil keputusan untuk menyatakan hasratnya kepada setiap orang yang sedang menunggu di situ.

   “Assalamualaikum semua…”
   Sebaik sahaja dia memberikan salam, semua orang memerhatikannya dengan tajam. Dia kaget.

   “Bolehkah saya menumpang tinggal di bangunan yang besar ini walau hanya untuk satu malam?” dia menyuarakan hasratnya.
   
   Berdekah-dekah hilai tawa menyambut soalannya itu. Semua yang ada di situ merasa geli hati mendengarnya.

   “Haha… Tempat ini kamu ingin jadikan sebagai tempat tinggal? Cerminlah diri kamu. Kamu bukannya tuan bangunan ini, apatah lagi kamu bukan pemilik syarikat ini…”

   “Hahaha… Tempat ini adalah tempat untuk bekerja, bukannya tempat untuk kamu tinggal. Tempat seperti ini tidak sesuai untuk kamu… Hahaha..” seorang lagi menambah dan terus ketawa bersama yang lain.

   Dia tunduk, malu sementara mereka yang lain terus mengetawakannya. Tidak lama kemudian, pintu lif terbuka. Ramai yang keluar melalui pintu itu tanpa mempedulikan sesiapa pun, termasuklah dirinya. Dia tetap tunduk. Setelah lif itu kosong, orang-orang yang mengetawakannya tadi terus masuk meninggalkan dirinya di luar pintu. Masing-masing berebut-rebut untuk memasuki lif tersebut. Di dalam, mereka masih mengetawakannya sehinggalah mereka hilang di sebalik pintu tersebut. Dia masih tercegat, tunduk.

   Setelah beberapa lama, pintu lif itu kembali terbuka. Kosong. Dia melangkahkan kakinya masuk ke dalam dan menekan punat yang terdapat berhampiran pintu lif. Ditunggunya seketika sehingga pintu itu kembali terbuka.

   Sunyi. Tidak kedengaran hilai tawa atau perbualan manusia melainkan hanyalah bunyi jari-jemari yang pantas seolah-olah sedang mengetuk-ngetuk sesuatu. Dia berjalan. Dilihatnya, orang-orang yang ada di dalam pejabat itu sibuk menyiapkan tugasan masing-masing. Ada yang sibuk menulis, menaip dan tidak kurang juga sedang berfikir sesuatu. Masing-masing berada di tempat mereka yang telah dikhususkan.

   Dia berjalan lagi. Dilihatnya kiri dan kanan, beberapa orang yang telah dia lihat sebelum menaiki lif tadi. Mereka memandangnya sambil sedikit tertawa. Mungkin geli hati dengan permintaannya tadi. Dia mengalihkan pandangannya dari mereka. Tunduk. Dia tahu, mereka yang berada di sekelilingnya bukanlah orang besar di tempat itu. Maka, dia mengabaikan mereka dan terus menuju ke bilik pejabat, satu demi satu.

********

   “Apa!!! Mahu tinggal di sini?! Apa kau fikir ini tempat kebajikan kah?!” kedengaran suara menengking dengan kuat dari dalam bilik pejabat itu.
Semua yang berada di luar pejabat itu kaku. Mereka tergamam. Suara yang kuat itu adalah suara pemilik syarikat ini. Memang sudah menjadi kebiasaan suaranya ditinggikan ketika dia marah, tetapi kali ini lebih kuat dari biasa. Inilah kali pertama mereka dengar suaranya yang kuat sebegini.

   “Ini adalah tempat untuk bekerja! Bukan tempat untuk kau tinggal! Bukan tempat untuk menginap! Kalau kau mahukan tempat tinggal, pergi cari kerja! Ada duit, baru cari rumah! Bukan cari di pejabat!! Pejabat adalah tempat untuk bekerja!”

   “Tak ada ruang untuk kau di sini! Sekarang, berambus sebelum aku gunakan kekerasan…!” bentak pemilik syarikat itu.

   Dia tunduk. Setiap kali dia masuk ke pejabat-pejabat di setiap tingkat, dia akan dihalau keluar. Setiap tingkat yang dia naiki, makin kuat dia dimarahi. Kini, dia berada di tingkat paling atas sekali. Kakinya sudah letih berdiri. Hatinya sudah sebak, tak mampu menampung air mata lagi. Pipinya basah.

   Dengan menundukkan kepalanya, dia melangkah keluar dari pejabat itu. Setiap mata yang ada di situ memandangnya. Senyap. Hanya sesekali kedengaran leteran dari mulut pemilik syarikat yang masih berada di dalam pejabatnya. Entah apa yang dibebelkannya?

   Dalam sunyi suasana itu, hanya beberapa orang sahaja yang terkekeh-kekeh mengetawakan dia. Mereka itulah orang yang dia jumpai sebelum memasuki lif di tingkat bawah tadi.

   “Nak mintak tempat tinggal konon, dia tak sedar siapa diri dia tu…”
   “Ini bukan tempat tinggal, ini tempat bekerja. Kan dah kena marah…”

   Dia terus tunduk membisu. Melalui anak-anak tangga kecemasan, dia menuruni bangunan itu. 

   “Maaf ya. Kenapakah tuan menangis?” tegur seseorang. Kedengaran suara itu seperti seorang perempuan yang hampir tua.

   Dia memalingkan mukanya dari wanita tersebut. Membisu.

   “Kalau tuan perlukan pertolongan, saya akan cuba bantu…”

   Dia terkejut. Dirinya tertanya-tanya, “Apakah wanita tua ini akan memberinya tempat tinggal?”

   Dengan rasa berat hati, “Bolehkah kamu bantu saya untuk mencari tempat tinggal?”

   “Oh, maaflah, saya tidak mempunyai masa yang cukup untuk membantu kamu dalam hal ini…”

   “Bagaimanakah kalau saya tinggal dengan kamu?”

   “Maaflah, bukan saya tidak mahu. Tetapi, saya bimbang saya tidak akan mempunyai masa yang secukupnya untuk menjaga tuan memandangkan keadaan tuan yang sedang uzur…” balas wanita itu lembut.

   Kecewa, namun sedikit terubat kesedihannya. Masih ada insan yang tahu berbudi bahasa walaupun bukan orang yang besar.

   “Tak apalah, terima kasih ya…”

   Cahaya matahari membakar dirinya. Dia kian lemah. Sejak dari mula perjalanannya mencari tempat tinggal, dia hanya mampu menumpang teduh di tempat-tempat yang redup sahaja. Namun, itu masih tidak cukup untuk menghilangkan panas kota raya.

   Setelah beberapa lama dia berjalan, dia menemukan sebuah lagi bangunan yang hanya beberapa tingkat. Kawasannya luas. Kelihatan beberapa orang manusia yang berpakaian serba putih lelaki dan perempuan melintasi pandangan mata dia. Mereka itu seperti masih remaja.

   “Bolehkah tuan benarkan saya tinggal di sini?”

   “Tingal di sini? Maaflah, ini sekolah, bukan tempat tinggal…” kata seorang pegawal keselamatan menjawab soalannya.

   Dia tunduk. Faham.

   “Tapi, kalau ingin berteduh saya boleh izinkan. Pergilah berteduh di bawah pokok sana”, kata pengawal itu sambil menunjukkan ke arah sebuah pohon.

   Lalu, dia mengambil tempat di bawah pohon itu untuk menghilangkan penatnya. Tenang ditiup angin sepoi-sepoi bahasa. Dia menarik nafasnya dalam-dalam. Perlahan-lahan, dirinya kembali segar.

   Setiap remaja yang melalui kawasan itu memerhatikan dia, kehairanan. Belum pernah mereka nampak dia sebelum ini di mana-mana pun. Namun, hanya sebentar sahaja mereka melihatnya lalu dengan pantas berlalu dari situ. Dia yang menyedari perkara itu hanya membiarkan sahaja.

   Masa berlalu dengan pantas. Matahari yang tadinya terik memancar, kini tergelincir sedikit dan kurang sinarannya. Kepulan-kepulan awan di langit kian menebal semakin menutupi matahari. Cuaca kini redup.

   Dia yang telah pun hilang penatnya, menyambung kembali perjalanannya. Mencari sebuah tempat tinggal. Langkah yang perlahan dimulakan.

   Dalam perjalanan, dia memerhatikan orang-orang di sekelilingnya. Dirinya tertanya-tanya, “Adakah sesiapa yang ingin menerima aku?”. Dia terus berjalan tanpa meluahkan hasratnya kepada sesiapa lagi.

   Hatinya kini telah pun kecewa. Dia tidak sanggup lagi menerima tohmahan-tohmahan yang pastinya bakal dia terima nanti. Maka dia membuat keputusan untuk meneruskan perjalanan sehingga dia merasakan ada insan yang sanggup menerimanya.


********

   Gelap tanpa cahaya sebagai penunjuk jalan. Hanyalah bulan dan bintang-bintang sahaja yang sudi membantu dia mencari jalan dalam pekatnya malam. Matahari yang tadinya tnggi, terik memancar, kini sunyi tanpa khabar. Begitulah lumrah siang dan malam. Kini, dia hanya ditemani suara unggas dan pungguk yang entah dari mana datangnya.

   Dia kini lemah, tidak lagi berdaya. Dirinya longlai, tanpa tenaga untuk meneruskan perjalanannya. Namun, kerana azam dan tekad yang membara dia tetap menggagahkan dirinya meredah kegelapan malam.

   Setelah beberapa lama dia berjalan, dirinya hampir tidak berdaya lagi. Hampir-hampir sahaja dia terebah ke bumi apabila melihat sekelumit cahaya dia bahu jalan. 

   Dia tetap menggerakkan kakinya menuju ke arah cahaya tersebut.

   Dengan kesungguhan, akhirnya dia sampai di sebuah rumah usang yang menjadi sumber cahaya tersebut. Sebuah rumah usang, kelihatannya telah lama ditinggalkan dengan binaannya yang berasaskan kayu-kayan semakin reput dimamah usia. Lantai dan dindingnya telah banyak lubang yang membuatkan mudah untuk dia mengintai ke dalam.

   Dia kini berada di anak tangga rumah itu. Dari situ, dia dapat melihat dengan jelas seorang lelaki muda yang sedang mengangkat tangannya, menadah ke langit. Diperhatikan oleh dia akan lelaki itu. Mulut lelaki itu terkumat-kamit seperti halnya sedang membaca sesuatu, namun dia tidak pula mendengar perkataan-perkataan yang keluar dari mulut lelaki itu.

   Dia lalu duduk di situ membelakangkan lelaki itu. Dirinya kini lemah, tak lagi berdaya untuk terus memanjat anak-anak tangga rumah itu. Dia amat berharap, agar lelaki itu akan menjumpainya nanti. Di situ, dia terus mengenangkan nasibnya.

   “Assalamualaikum tuan…” tegur seseorang dari belakang.
    “Waalaikumussalam…” dia menjawab perlahan lalu memalingkan mukanya untuk melihat orang itu. Lelaki tadi.

   “Kenapa tuan berada di sini?” tanya lelaki itu.
   “Tuan, izinkanlah saya tinggal di sini. Sudah tidak ada lagi tempat untuk saya tinggal. Tiada sesiapa pun yang ingin mengizinkan saya untuk tinggal bersama mereka kerana keadaan saya ini. Sudilah tuan izinkan saya tinggal di sini. Sesungguhnya saya tidak mempunyai sesiapa lagi di dunia ini….” dia menjawab dengan lemah sambil merayu agar diberikan tempat tinggal.

   “Tuan, saya bukan pemilik rumah ini. Berat hati saya untuk mengizinkan tuan tinggal di sini…” lelaki itu menjawab.

   Air mukanya berubah. Tadi dirinya penuh harapan, kini kecewa.
   “Tapi, rasanya tidak mengapa jika tuan tinggal di sini. Lagipun, tak ada sesiapa lagi selain saya yang selalu berkunjung ke sini…” tambah lelaki itu.

   Air muka dia kembali berubah, penuh kegembiraan.

   “Saya juga tak dapat menjaga tuan kerana saya tidak tinggal di sini. Ini hanyalah tempat untuk saya bersendirian dan mendekatkan diri saya kepada Dia yang Maha Pencipta…”

   “Tidak mengapa, asalkan saya ada tempat tinggal… Terima kasih, tuan. Terima kasih…” dia mengucapkan terima kasih atas budi yang ditunjukkan lelaki itu.
Lelaki itu mengangkat dia yang sudah longlai, tak mampu berdiri. Dibawanya dia ke sebuah sudut di dalam bangunan itu.

   “Maaflah, tempat ini agak berhabuk, lagipun saya tidak mempunyai masa yang cukup untuk membersihkan keseluruhan tempat ini….” kata lelaki itu.

   “Tak mengapa. Terima kasih…”

   Dia memandang kiri dan kanannya. Masih ada yang senasib sepertinya. Mereka juga tinggal di tempat yang berhabuk itu dan mereka juga tidak kisah akan keadaan mereka itu yang jauh lebih uzur dari dirinya.


********

   Sepuluh tahun berlalu, keadaan dia semakin uzur tanpa penjagaan dari sesiapa. Lelaki muda yang mengizinkannya tinggal di situ telah pun berpindah. Melanjutkan pelajarannya di tempat yang jauh. Maka, tinggallah dia bersama mereka yang sepertinya di dalam bangunan usang itu tanpa ada sesiapa yang menjaga mereka.

   Ketika ini, dia merindui saat-saat dia bersama tuannya sepuluh tahun yang lalu. Ketika itu, tuannya, Orang Tua masih hidup. Setiap detik, dia terkenang akan Orang Tua itu. Sering kali Orang Tua itu menyelak lembaran-lembaran yang ada pada dirinya untuk mencari ketenangan.

   Sering kali Orang Tua itu membaca kalimah-kalimah suci yang ada dalam dirinya. Orang Tua itu membacanya dengan penuh ikhlas mengharapkan keredhaan Allah. Malah, ketika dia tinggal bersama Orang Tua itu, dia dijaga dengan rapi.
Tetapi, nasibnya berubah setelah ajal Orang Tua itu sampai. Meskipun dia tinggal di bangunan usang ini sejak sepuluh tahun yang lalu, lelaki muda yang baik hati itu jarang sekali membelek helaian-helaian pada dirinya kerana lelaki itu sudah pun memiliki kitab sepertinya di rumah lelaki muda itu.

   Kini, tinggallah dia bersama naskhah-naskhah Al-Quran lain yang senasib dengannya di pondok usang itu di atas rapuhnya sebuah rak tanpa mereka dipedulikan oleh sesiapa lagi. Mereka semakin dilupakan…

No Response to "BERIKAN DIA TEMPAT TINGGAL"

Post a Comment